Presiden Halimah sanjung bakti guru prasekolah dalam majlis di Istana

Presiden Halimah sanjung bakti guru prasekolah dalam majlis di Istana

This article was originally published by Berita Harian on 17 August, 2022.

DEDIKASI guru prasekolah disanjung dengan Presiden Halimah Yacob menganjurkan acara penghargaan #ServingSG bagi 32 guru pendidikan awal kanak-kanak di Istana semalam.

Para pendidik prasekolah menyerlahkan dedikasi dan komitmen mereka semasa cabaran pandemik Covid-19.

Salah seorang daripada mereka ialah Cik Fatrah Mohamed Fauzi, pengetua prasekolah 7oaks di Bedok Reservoir, yang telah menceburi bidang pendidikan awal kanak-kanak selama 27 tahun.

Beliau mengetuai 24 kakitangan dan 114 pelajar dan memastikan kelancaran operasi prasekolah serta kesejahteraan dan perkembangan kakitangan dan pelajarnya.

Cik Fatrah, 45 tahun, berusaha keras semasa tempoh pemutus litar (CB) jangkitan Covid-19 pada 2020 untuk mendekati pelajar di rumah demi memastikan mereka dapat terus belajar.

“Ramai ibu bapa digolong sebagai pekerja dalam pekerjaan tidak penting semasa pemutus litar. Mereka menghadapi kekangan dari segi kewangan untuk menyediakan barang keperluan bagi pembelajaran dalam talian anak mereka,” ujar Cik Fatrah.

Oleh itu, beliau bersama kakitangan prasekolahnya meningkatkan peranan mereka sebagai pemimpin dan pendidik dan menghantar sendiri beg alat tulis ke lebih 80 rumah bagi 100 pelajar dalam masa tiga hari semasa Ramadan.

Ini termasuk barang seperti blok lukisan, gunting dan pensel pewarna, yang bertujuan memudahkan pembelajaran dalam talian.

“Sebagai seorang pendidik di Singapura, saya sentiasa berterima kasih atas sokongan yang diberikan kepada pendidik di sini, dan nilai yang pemerintah berikan terhadap pendidikan serta usahanya memastikan setiap warga diberi peluang belajar,” ujar Cik Fatrah.

Ini menjadi sumber motivasi yang mendorong Cik Fatrah memberikan yang terbaik kepada guru dan pelajar di pusat prasekolah 7oaks.

Turut mendapat penghargaan itu ialah Cik Siti Syaza Liyana Daud, naib pengetua Skool4Kidz di Sengkang Riverside, yang berpengalaman dalam bidang pendidikan kanak-kanak selama sembilan tahun.

Beliau telah menyertai Skool4Kidz selama empat tahun, dengan menjadi guru utama selama dua tahun sebelum dinaikkan pangkat sebagai naib pengetua bulan lalu.

Dedikasi dan komitmen Cik Syaza terserlah semasa kemuncak pandemik Covid-19.

Walaupun lebih terdedah kepada virus itu sebagai ibu mengandung, Cik Syaza tetap mengutamakan keperluan pelajar prasekolahnya dan rakan sekerja.

“Semasa cuti bersalin, saya melibatkan diri dalam perancangan dan aktiviti prasekolah saya. Saya menyenaraikan diri saya dalam syif awal bagi memastikan pendidik lain mematuhi protokol keselamatan,” ujar Cik Syaza, 33 tahun.

Beliau sentiasa seronok bersama anak-anak kecil dan bermula sebagai penolong guru.

Cik Syaza sentiasa tidak sabar untuk mengajar dan menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran pelajarnya setiap hari.

“Kegembiraan dan rasa ingin tahu yang datang daripada pelajar saya tidak ternilai dan bermanfaat untuk saya,” ujarnya.

Kedua-dua pendidik prasekolah ini bersyukur dijemput menghadiri majlis penghargaan di Istana itu, dan menganggapnya sebagai salah satu pengalaman bermakna dan tidak dapat dilupakan.