04 Jul Rahayu: Masyarakat harus bantu kaum wanita tangani cabaran praktikal
This article was originally published by Berita Harian and BERITA Mediacorp on 22 May, 2022.
MASYARAKAT harus menangani pelbagai cabaran praktikal yang masih dihadapi kaum Hawa kini serta membantu mereka merebut peluang dan kejayaan, walaupun sedang golongan wanita di Singapura telah mengecapi banyak kemajuan dan pencapaian dalam bidang pekerjaan, pendidikan dan politik, kata Setiausaha Parlimen (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Tambahnya, ini supaya kaum wanita dapat mencapai potensi sebenarnya dan mengejar aspirasi tertingginya.
“Lebih banyak usaha boleh dijalankan bersama untuk memperkasa, melindungi dan mempertingkat wanita,” ujar beliau.
Cik Rahayu berkata demikian semasa berucap di sambutan Hari Raya Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) di hotel Furama City Centre semalam.
Tambahnya, usaha menggalak pembangunan wanita di Singapura lebih daripada sekadar dasar dan undang-undang.
Oleh itu, anjakan minda diperlukan untuk mendidik semula masyarakat tentang peranan yang dimainkan jantina berbeza dan tanggungjawab yang dikongsi bersama.
Cik Rahayu berkata usaha seluruh masyarakat diperlukan dan rakan kerja masyarakat memainkan peranan besar dalam hal ini.
Dengan wanita yang menyertai pelbagai industri dan berada di tahap kehidupan dan memiliki aspirasi berbeza, mereka memerlukan program yang sesuai dengan keperluan masing-masing.
Oleh itu, pengalaman rakan kerja yang bertugas dengan masyarakat membolehkan mereka mengenal pasti dan mengisi jurang yang memerlukan lebih banyak sokongan, kata Cik Rahayu.
“Sehubungan itu, agensi M3 telah memulakan inisiatif yang menyokong wanita Melayu yang ingin kembali bekerja untuk meraih kemahiran baru serta mendapat pekerjaan.
“Sebagai contoh, program Wanita@Kerja Mendaki bertujuan menggalak isi rumah yang kedua-dua pasangan suami isteri bekerja, dengan memberi kaum wanita peluang meraih kemahiran baru dan membolehkan penempatan pekerjaan,” ujarnya.
Sambutan Hari Raya PPIS semalam dihadiri sekitar 50 wakil wanita dan pemimpin masyarakat daripada pelbagai pertubuhan sekular dan agama.
Bertemakan ‘Legasi Wanita Bersejarah Dalam Islam’, acara tersebut bertumpukan pada usaha membetulkan beberapa tanggapan salah dalam masyarakat sementara menyediakan ruang yang selamat bagi peserta belajar lebih lanjut tentang wanita dalam Islam menerusi naratif sejarah dan kaitannya dengan masyarakat sekarang yang moden dan progresif.
Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim, berkata agama tidak seharusnya membebani atau memecahbelahkan masyarakat tetapi untuk membantu mencapai aspirasi dan menyatukan masyarakat.
“Wanita tidak boleh dan tidak seharusnya bersendirian dalam perjalanan pertumbuhan dan pembangunan ini.
“PPIS komited menggembleng sumber dan memupuk kerjasama untuk membentuk ekosistem sokongan yang kukuh bagi wanita,” ujarnya.