Relawan mapan terima Anugerah Muis

Relawan mapan terima Anugerah Muis

This article was originally published by Berita Harian on 08 October, 2022.

BELIAU mula terlibat dengan masyarakat ketika beliau masih bersekolah pada usia 17 tahun.

Lebih empat dekad kini, Dr Ab Razak Chanbasha, 63 tahun, masih aktif menyumbang kepada masyarakat dengan pelbagai cara dan usaha.

Berkat kesungguhannya menyumbang kepada masyarakat serta pencapaian sepanjang hayat, anggota lembaga pengarah Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima) yang juga sayap penyelidikan AMP itu serta anggota lembaga pengarah syarikat pengurusan aset wakaf Warees Investments Pte Ltd itu disampaikan anugerah tertinggi, Anugerah Jasa Cemerlang, semasa upacara Anugerah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) 2022 di Istana pada Sabtu (8 Oktober).

Beliau disampaikan anugerah itu oleh Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob.
Berkongsi harapan dan aspirasinya bagi generasi akan datang, Dr Ab Razak berkata:
“Sebagai Muslim, kita harus memikirkan lebih daripada diri kita sahaja.

“Kita harus mengambil peluang berada dalam kedudukan yang memiliki kelebihan seperti dalam bentuk pendidikan, kekakayaan atau masa untuk menyumbang kepada masyarakat juga.”

Turut dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, upacara tersebut turut mengiktiraf lapan lagi individu yang disampaikan Anugerah Jasa Bakti atas bakti dan sumbangan mereka kepada masyarakat dalam pelbagai bidang dan bagi segmen masyarakat yang berbeza.

Anugerah Jasa Cemerlang mengiktiraf seorang individu yang telah memberikan sumbangan sepanjang hayat yang cemerlang dalam bidang seperti pendidikan, ekonomi, khidmat masyarakat atau dakwah manakala Anugerah Jasa Bakti mengiktiraf beberapa individu atas bakti mereka kepada masyarakat bagi tempoh yang panjang.

Antara mereka yang disampaikan Anugerah Jasa Bakti termasuk Encik Alwi Abdul Hafiz dan Cik Siti Habibah Siraj, kedua-duanya 60 tahun.

Encik Alwi giat berbakti kepada masyarakat menerusi pelbagai pertubuhan dan pelbagai peranan, khususnya di Yayasan Mendaki. “Masyarakat kita beruntung mempunyai ramai individu yang ambil berat tentang masyarakat dan saya bersyukur mereka menggalak, meyakinkan dan membuka pintu bagi saya turut menyumbang.“Anugerah ini tidak dijangkakan tetapi saya amat tersentuh dengan pengiktirafan ini,” ujarnya.

Bagi Cik Siti Habibah, beliau telah menyumbang kepada sektor kebajikan sosial serta budaya dan warisan sepanjang lebih 20 tahun.

“Saya mahu masyarakat berkembang dan rasa bangga, khususnya wanita Muslim.
“Kita harus menggalak lebih ramai suri teladan yang positif bagi generasi akan datang supaya anak cucu perempuan kita juga boleh memiliki impian lebih besar dan meraih pencapaian lebih tinggi,” ujar beliau.

Enam individu lain yang diiktiraf dengan Anugerah Jasa Bakti Muis tahun ini ialah Encik Kothari Shah Ibrahim, Cikgu Supki Sidek, Ustaz Fadlon Osman, Dr Subari Sukaini, Cik Norlizah Yusof dan Encik Mohamed Ilyas.

Upacara itu turut dihadiri Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen; Presiden Muis, Encik Saat A. Rahman; serta Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir.