05 May Sedia melangkah mulakan hidup baru
This article was originally published by Berita Harian on 25 April, 2023.
SAYUNYA suasana Syawal 2022 masih segar dalam fikiran bekas pesalah, Cik Sofia (bukan nama sebenar), yang menyambut Aidilfitrii dalam penjara.
Namun, Syawal 2023 membuka lembaran baru bagi penghuni Rumah Peralihan Rise Above itu yang dapat kembali ke pangkuan keluarga sambil didampingi orang tersayang.
“Kini dalam rumah peralihan, saya rasa ghairah, tak sabar nak balik dan jumpa keluarga,” kata wanita berusia awal 30-an tahun itu ketika ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Syawal turut menandakan detik istimewa buat Cik Sofia yang akan tamat tempoh hukumannya seminggu lagi.
Lalu bermulalah perjalanan pemulihannya dalam masyarakat untuk terus menjauhi dunia dadah, yang telah mencengkam hidupnya sejak zaman remaja lagi.
Menyingkap pengalamannya, Cik Sofia berkata hidupnya jadi tidak terurus akibat dadah.
“Waktu itu, saya tak fikir menjadi seorang yang bertanggungjawab, masih lagi fikir nak ‘enjoy’. Jadi apa saya pilih adalah saya abaikan sekolah, teruskan dunia yang tak sepatutnya saya ikut,” ujarnya.
Beliau, yang tercicir dari sekolah menengah, berhasrat ‘cuci tangan’ daripada dunia gelap yang lalu dan sebaliknya mempertingkat kelayakan dirinya dengan melanjutkan pendidikan atau mengambil kursus selepas dibebaskan nanti.
Ini, katanya, supaya dapat membantunya dalam mendapatkan pekerjaan yang stabil dan membina kehidupannya semula.
Cik Sofia turut berkongsi bahawa Ramadan 2023 lebih istimewa kerana kali ini beliau akhirnya dapat merasakan “semangat Ramadan”.
Dengan persahabatan baru yang terjalin di rumah peralihan itu, Cik Sofia berkata mereka dapat beramai-ramai kongsi makanan dan beriftar bersama, yang baginya suatu yang amat istimewa jika dibandingkan dengan Ramadan 2022 dalam penjara.
Berkongsi tentang Rumah Peralihan Rise Above, Cik Sofia berkata program yang ditawarkan banyak menyokongnya dalam proses pemulihan.
“Dalam rumah peralihan ini, ia memberi kesan yang banyak terhadap diri saya. Dengan kaunseling yang saya lalui, dari dalam (penjara) sehingga di sini…apa yang mereka ajar banyak membantu saya.
“Ia menyentuh tentang banyak perkara seperti kemarahan kita, macam mana nak kawal diri kita, macam mana nak jalinkan hubungan kembali dengan keluarga, macam mana nak ubah sikap kita, cara perbualan kita, contohnya daripada biadab dan kasar menjadi seorang yang lembut dan sopan.
“Ia juga menyiapkan kita bagi apa yang kita akan hadapi di dunia luar, dan membuka fikiran kita untuk berdepan dengan realiti,” katanya.
Walaupun akur perjalanan akan datang bukan mudah, Cik Sofia menanamkan tekad untuk berubah, dan yakin bahawa dengan minda yang tenang, beliau dapat memulakan hidup baru.