Semangat perangi pandemik bersama papar kesepaduan masyarakat

Home > News & Media > Semangat perangi pandemik bersama papar kesepaduan masyarakat

Semangat perangi pandemik bersama papar kesepaduan masyarakat

Last Update on January 26, 2023

This article was originally published by Berita Harian on 01 January, 2023.

SEPANJANG tahun lalu, masyarakat Melayu/Islam telah memainkan peranan besar dalam usaha Singapura memerangi Covid-19 dan melangkah ke arah kehidupan normal kembali.

Mereka telah menunjukkan semangat kesatuan, daya tahan serta kematangan, sebagai respon terhadap pelbagai langkah yang dilaksanakan pemerintah untuk membantu membendung penularan virus itu.

Semangat kolektif untuk membantu dan berkongsi juga jelas dipaparkan masyarakat Melayu/Islam di sini dalam memastikan rakyat Singapura dapat muncul lebih kuat bersama-sama.

Ini merupakan antara perkara yang boleh dibanggakan oleh masyarakat Melayu/Islam di sini, kata pemimpin masyarakat dan pengamat politik yang dihubungi Berita Minggu (BM).

Menyentuh tentang hal ini, Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata masyarakat Melayu/Islam, dan Singapura secara amnya, berjaya menunjukkan sikap yang bertanggungjawab sepanjang tempoh Covid-19 yang mencabar.

“Masyarakat dan negara kita secara keseluruhannya telah berjaya dalam mengurus dan hidup dengan Covid-19.

“Kita bukan sahaja dapat melihat beberapa sekatan ke atas kegiatan sosial dilonggarkan sejak beberapa tahun ini, malah juga masyarakat kita telah menyesuaikan diri dengan baik dari segi interaksi sosial dan kegiatan keagamaan di masjid dan institusi kita,” kata beliau.

Kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa sumbangan para asatizah setempat dalam memimpin masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan menerima cabaran yang dihadapi, tambah beliau yang mengiktiraf usaha para asatizah.

Berkongsi pendapat, pengamat politik dan mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Zulkifli Baharudin, berkata pertubuhan dan institusi Melayu/Islam di sini telah memberikan respon baik semasa tempoh pandemik.

“Contohnya, mereka tidak persoalkan tentang langkah jarak selamat yang dikenakan bagi para jemaah semasa di masjid.

“Mereka faham akan kebimbangan ramai semasa pandemik di kemuncak pada ketika itu.

“Sebagai masyarakat Melayu/Islam, kami patuh dengan arahan tersebut. Ini menandakan kematangan masyarakat kita,” ujar beliau.

Sumbangan masyarakat Melayu/Islam yang penuh semasa pandemik Covid-19 turut digariskan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam Rapat Hari Kebangsaan tahun lalu.

Ini sekali gus membuktikan kemajuan dan kejayaan rakyat Singapura, dan mencerminkan kesepaduan masyarakat majmuk Singapura.

“Dalam dunia yang kian tidak menentu dan semakin kompleks ini, daya tahan dan perpaduan masyarakat kita akan menjadi semakin genting.

“Sebuah masyarakat Melayu/Islam yang teguh dan berdaya tahan, akan sekali gus membentuk sebuah Singapura yang lebih teguh dan lebih berdaya tahan.

“Saya gembira kerana dekad demi dekad masyarakat Melayu/Islam Singapura semakin maju dari segi sosio-ekonomi, dapat mengukir identitinya yang tersendiri, penuh keyakinan, dan bersenyawa dengan masyarakat berbilang kaum di negara kita,” kata beliau.

Dalam ucapannya itu lagi, Encik Lee antara lain turut menarik perhatian bagaimana rangkaian kukuh badan masyarakat yang komited telah membantu terhadap kemajuan masyarakat Melayu/Islam.

Keupayaan inilah yang telah membentuk identiti Muslim Singapura yang unik dan menyumbang kepada kejayaan Singapura selama ini, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Ini ditambah pula dengan semangat gotong-royong melibatkan pelbagai pihak termasuk pemerintah dan masyarakat yang telah memacu kejayaan masyarakat Melayu/Islam selama ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Rapat Hari Kebangsaan Encik Lee pada Ogos lalu.

Dalam menyentuh tentang pencapaian masyarakat, Encik Masagos menggariskan tiga ciri penting antaranya termasuk sumbangan pemerintah dalam membangunkan dan memberi kejayaan yang bermakna kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura, yang turut ditekankan Encik Lee.

Sehubungan itu, masyarakat sendiri telah menunjukkan semangat untuk berusaha gigih agar dapat meraih pencapaian yang bermakna melalui pendidikan. Ini dilakukan menerusi sumbangan masyarakat sendiri dalam menyedarkan dan menggerakkan masyarakat supaya meraih pencapaian ini.

Malah, individu yang telah berjaya turut kembali menyumbang semula untuk terus mempertingkat masyarakat, tambah Encik Masagos, yang turut memberi pengiktirafan kepada Yayasan Mendaki yang menyambut ulang tahunnya yang ke-40 tahun ini.

“Ini merupakan satu lingkaran yang sangat baik kerana mereka yang berjaya faham bahawa mereka bukan sahaja berjaya kerana kepintaran mereka sendiri tetapi ia juga hasil sokongan sistem, negara dan masyarakat,” ujarnya.

Ketika memberi ucapan di ‘Majlis Anugerah Jauhari Berita Harian’ baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, turut memberi pengiktirafan terhadap usaha secara kolektif bersama semua pertubuhan dan pemerintah.

Menerusi usaha ini, beliau berkata kita telah menyaksikan masyarakat Melayu/Islam terus maju selama bertahun-tahun.

Beliau percaya masyarakat Melayu/Islam di sini dapat bersama menjadikan Singapura sebuah tempat yang penuh peluang untuk semua orang memanfaatkan keupayaannya dan menjadi yang terbaik dalam apa jua perkara yang ingin mereka lakukan.

“Kita semua mempunyai pengalaman hidup yang amat bernilai untuk dikongsi bersama, atau kemahiran yang boleh disalurkan, dan keistimewaan berupaya untuk membuka jalan bagi mewujudkan lebih banyak peluang bagi orang lain.

“Marilah kita melaksanakan sesuatu untuk membantu satu sama lain agar setiap individu dapat maju dan berjaya.

“Jika kita terus melakukannya, saya yakin bahawa masyarakat Melayu/Islam akan terus makmur dan cemerlang pada tahun-tahun mendatang.

Bersama-sama, kita akan dapat mengekalkan Singapura sebagai sebuah tempat di mana semua orang yang bekerja keras boleh mencapai sesuatu yang benar-benar luar biasa,” ujarnya.