Home > News & Media > Sumbangan besar tiga individu kepada pendidikan masyarakat Melayu/Islam diiktiraf dengan Anugerah Sanjungan Budi
Sumbangan besar tiga individu kepada pendidikan masyarakat Melayu/Islam diiktiraf dengan Anugerah Sanjungan Budi
Last Update on January 16, 2023
This article was originally published by BERITA Mediacorp on 01 October, 2022.
SINGAPURA: Tiga individu menjadi penerima pertama Anugerah Sanjungan Budi MENDAKI.
Mereka adalah Encik Haider Mohamedally Sithawalla, Encik Sallim Abdul Kadir dan Dr Sharifah Mariam Aljunied.
Anugerah disampaikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa acara sambutan ulang tahun MENDAKI yang ke-40 petang tadi (1 Okt).
Anugerah khas itu mengiktiraf sumbangan besar mereka kepada masyarakat Melayu/Islam dalam bidang pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat dan telah membuat sumbangan untuk sekurang-kurangnya 20 tahun.
MANTAN PENGERUSI TABUNG AMANAH PENDIDIKAN TERIMA ANUGERAH SANJUNGAN BUDI
Pemenang Anugerah Sanjungan Budi tahun ini bukanlah nama yang asing dalam masyarakat Melayu/Islam.
Encik Sithawalla berkata: “Saya berasa sangat terharu atas penerimaan anugerah ini. Saya rasa bahawa MENDAKI sudah melakukan kerja yang sangat baik sejak bertahun-tahun lalu.”
Encik Haider Mohamedally Sithawalla telah membuat sumbangan besar kepada kedua-dua badan bantu diri (SHG) – MENDAKI dan SINDA.
Pengarah Eksekutif syarikat KSP Investments Pte Ltd itu pernah memegang jawatan Timbalan Pengerusi MENDAKI Holdings dari 2003 hingga 2005.
Beliau Encik Sithawalla juga menyandang jawatan sebagai Pengerusi MENDAKI SENSE selama sekitar 10 tahun dari 1996 hingga 2006.
Bermula dari tahun 2002 sehingga 2019, beliau juga menjawat sebagai Pengerusi bagi Tabung Amanah Pendidikan (ETF), iaitu program yang bertujuan menyokong pendidikan para pelajar Muslim daripada keluarga berpendapatan rendah.
Encik Sithawalla sebelum ini juga pernah menjadi penerima Anugerah Jasa Cemerlang pada 2014 – iaitu penghargaan tertinggi daripada MUIS.
Anugerah Jasa Cemerlang itu diberikan kepada individu yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 12 tahun, kepada masyarakat Islam tempatan.
Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Warees Investments Pte Ltd dan anggota Lembaga Amanah Yayasan Rahmatan Lil Alamin,
Di Warrees, Encik Sithawalla terlibat dalam pembangunan projek-projek wakaf yang lebih mampan, selain aktif memajukan pendidikan masyarakat Islam.
Selain itu, beliau juga merupakan mantan Pesuruhjaya Tinggi Singapura kepada negara-negara seperti Mauritius, Zimbabwe dan Tanzania.
Memandang ke hadapan, Encik Sithawalla berharap bahawa lebih banyak usaha boleh dilakukan oleh MENDAKI untuk membantu masyarakat Melayu/Islam.
“Tumpuan Mendaki perlu berubah kerana kita sudah berjaya mencapai sasaran dan objektif dahulu. Saya rasa kita perlu lihat bagaimana kita boleh membantu masyarakat dan saya rasa bahawa lebih banyak usaha perlu disalurkan kepada pendidikan tinggi,” kata Encik Sithawalla.
Beliau menambah: “Bidang teknologi maklumat (IT) adalah bidang yang ramai orang sedang mendalami dan saya rasa lebih banyak tumpuan perlu diberikan kepada para pelajar dalam bidang tersebut.”
SALLIM ABDUL KADIR DIIKITRAF SOKONG PEMBELAJARAN PELAJAR MUSLIM UNTUK LEBIH 17 TAHUN
Seorang lagi penerima Anugerah Sanjungan Budi tahun ini adalah Encik Sallim Abdul Kadir.
“Saya sangat terharu mendapat penghormatan dari MENDAKI atas perkhidmatan saya sepanjang masa ini. Pada saya anugerah ini harus memberi satu inisiatif atau dorongan kepada anak-anak muda kita supaya hendak menyumbang semula kepada masyarakat dalam apa bidang yang mereka boleh,” kata Encik Sallim.
Pengerusi syarikat Industrial and Services Cooperative Society Limited itu juga banyak memberi sumbangan kepada MENDAKI dan MUIS.
Encik Sallim menyertai Lembaga Pengarah MENDAKI pada tahun 2004 dan pernah dianugerahkan Pingat Khidmat Masyarakat pada 2011.
Pada tahun lalu, menerima Anugerah Jasa Cemerlang MUIS.
Secara keseluruhannya, Encik Sallim sudah berkhidmat di MENDAKI dan menyokong pembelajaran pelajar Muslim untuk lebih 17 tahun.
Sepanjang tempoh itu, Encik Sallim banyak menyumbang kepada program-program khusus buat masyarakat Melayu/Islam termasuk pengurusan dan pengagihan Dana Pembangunan Masyarakat Melayu/Islam.
Selain itu, beliau juga pernah memimpin Jawatankuasa Audit MENDAKI selama 16 tahun serta menerajui pelbagai jenis usaha untuk mengumpul dana bagi Tabung Amanah Pendidikan.
Setelah berbakti kepada MENDAKI untuk lebih 20 tahun, Encik Sallim juga berbangga dengan kemajuan dan pencapaian anak-anak Melayu dalam bidang pendidikan.
“Kalau kami melihat senarai nama-nama anak-anak Melayu hari ini yang mendapat anugerah dan dibandingkan 20 tahun atau 30 tahun lalu, tentunya senarai nama tahun-tahun lalu mungkin hanya satu muka surat sahaja.”
“MENDAKI telah berjaya untuk menaikkan kebolehan anak-anak Melayu supaya boleh mencapai kohort 10 peratus terbaik. Jadi saya sangat bangga atas pencapaian MENDAKI dan juga badan-badan lain yang menolong anak-anak Melayu kita mencapai kejayaan ini,” kata Encik Sallim.
Dalam pada itu, Encik Sallim juga bersetuju bahawa bidang tumpuan MENDAKI perlu berubah untuk tahun tahun mendatang.
“Saya harap pada satu hari yang akan datang, MENDAKI tidak perlu bertungkus-lumus mendidik anak-anak Melayu kita sebab mereka sudah setaraf dengan bangsa-bangsa lain. Tenaga dan sumber-sumber MENDAKI boleh disalurkan pada bidang lain seperti kebudayaan. Kebudayaan itu sangat mustahak bagi saya sebab kebudayaan itu berkait rapat dengan adat masyarakat Melayu. Kalau kita hilang kebudayaan, kalau kita hilang bahasa, habislah bangsa Melayu.”
PENERAJU PROGRAM MENDAKI DR SHARIFAH MARIAM ALJUNIED TERIMA ANUGERAH SANJUNGAN BUDI
Penerima terakhir bagi Anugerah Sanjungan Budi tahun ini adalah Dr Sharifah Mariam Aljunied.
Profesor Madya Adjung di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu telah menyumbang kepada pembangunan masyarakat Melayu/Islam menerusi penglibatannya sebagai relawan dengan MENDAKI selama lebih 20 tahun.
Dr Mariam berkata: “Bagi saya, ini suatu pengiktirafan bukan atas usaha saya tetapi semangat dan keikhlasan masyarakat kita, tidak ada projek yang boleh dijalankan seorang diri, dengan adanya penggemblengan tenaga daripada pelbagai pihak, di situ saya rasa keistimewaan MENDAKI.”
Dr Mariam antara lain telah memainkan peranan penting dalam pembangunan program Tiga M, yang kini dikenali sebagai KelasMateMatika (KMM).
Pada 2002, program Tiga M dirintis dengan matlamat untuk memperkasakan pengetahuan dan kebolehan matematik dalam kalangan kanak-kanak prasekolah,
Ia dilakukan dengan memperkasa ibu bapa terutama daripada golongan yang memerlukan untuk lebih terlibat dalam pendidikan anak-anak mereka.
Program tersebut telah memberi manfaat kepada golongan ibu bapa dan kanak-kanak prasekolah daripada Yayasan Masyarakat PAP dan tadika madrasah serta badan-badan seperti Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Perdaus dan Jamiyah.
Berkat usaha Dr Mariam untuk menerajui program tersebut, MENDAKI kini sudah membantu lebih 6,500 golongan ibu bapa dan kanak-kanak sejak empat tahun lalu.
“Saya terharu kerana satu projek yang saya mulakan dengan MENDAKI dua dekad lalu kini masih terus berkembang dan masih memberi kebaikan kepada masyarakat dan keluarga,” jelas Dr Mariam.
Menyuarakan pandangannya tentang kemajuan yang dicapai sejak penubuhannya 40 tahun lalu, Dr Mariam berkata bahawa masyarakat perlu berbangga untuk beberapa perkara.
“Walaupun landasan usaha MENDAKI adalah pendidikan tetapi pada waktu ini, kita lihat karyawan daripada pelbagai sektor, bukan sahaja cikgu-cikgu malahan doktor, karyawan dan juga mereka dari seni dan sukan tampil ke hadapan dan memberi sumbangan mereka.”
“Kedua, kalau dahulu ada keluarga yang datang ke MENDAKI untuk mendapatkan bantuan, kini mereka sudah menjadi kuat dan menjadi relawan mendaki. Saya rasa ini cukup istimewa kerana tangan-tangan yang dahulunya meminta bantuan kini menjadi tangan yang menghulurkan bantuan. Saya doakan MENDAKI dan masyarakat kita mengekalkan ciri istimewa ini,” kata Dr Mariam.
Setiap penerima anugerah menerima arca seramik ‘Iringan’ – yang mencerminkan sumbangan mereka untuk mempertingkatkan masyarakat Melayu/Islam menuju kecemerlangan bersama MENDAKI.