Home > News & Media > Tinjauan lucah: PPIS kecam serangan terhadap maruah wanita, yakin pendidikan kunci tangani isu
Tinjauan lucah: PPIS kecam serangan terhadap maruah wanita, yakin pendidikan kunci tangani isu
Last Update on July 27, 2021
This article was originally published by Berita Harian on May 27, 2021.
SEBAGAI pertubuhan wanita, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) terganggu dengan rasa tidak hormat dan serangan terhadap maruah wanita, sesuatu yang jelas kelihatan daripada tinjauan lucah dalam talian membabitkan beberapa ustazah setempat yang menjadi perbualan warganet pada Khamis (27 Mei).
Dalam lampiran pos di Facebook dan Instagram, PPIS melahirkan rasa terkejut lebih 1,000 orang mengundi dan menyertai tinjauan itu yang disifatkan sebagai perilaku yang tidak dapat dibayangkan.
“Kami menggesa pihak berkuasa agar menyiasat secara terperinci tinjauan ini agar si kumpulan pelaku diminta bertanggungjawab dan dinasihati.
“PPIS komited dalam memajukan aspirasi wanita, menegakkan maruah wanita dan menaiktarafkan wanita Islam.
“Kami percaya wacana positif berterusan, perbincangan sihat, pendidikan dan kesedaran adalah kunci dalam meluputkan bentuk pemikiran yang membenci wanita. Kami berterima kasih kepada rakan bersekutu kami dalam kalangan warga Adam yang tampil mengulas isu ini.
“Menghala ke depan, kami berharap dapat bersatu hati dengan masyarakat dalam talian agar melindungi kesucian ruang awam dan perkongsian seperti media sosial dengan memastikan ruang ini selamat buat wanita.
“Ekosistem yang menyokong adalah dasar dalam mewujudkan masyarakat saksama buat semua, khususnya wanita,” tambah PPIS yang menyifatkan tinjauan yang menjadikan wanita objek seks dan menggalak keganasan seksual terhadap golongan ustazah sebagai satu perbuatan keji dan tidak boleh diterima.
PPIS juga memberi jaminan kepada ustazah yang terjejas bahawa mereka tidak keseorangan berdepan dengan isu ini.