Home > News & Media > Usaha bantu anak pesalah dadah berdikari
Usaha bantu anak pesalah dadah berdikari
This article was originally published by Berita Harian on 24 December, 2022.
Hampir 70 anak pesalah dadah menimba kemahiran baru iaitu menjahit butang di bawah Projek ‘Sew Butang’ anjuran Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) pada hari ini (24 Dis).
Ini diadakan sempena acara pengagihan wang bantuan bagi tujuan pendidikan yang diberikan HGEF secara tahunan untuk membantu meringankan beban keluarga yang sedang membuat persiapan bagi anak mereka yang bakal kembali ke sekolah tidak lama lagi.
Berkongsi tujuan di sebalik Projek Sew Butang, setiausaha kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun berkata:
“Penerima bantuan muda kita datang berjumpa saya dalam seragam sekolah selalunya dengan butang yang hilang atau dengan beberapa butang yang longgar.
“HGEF telah dapat mengumpul 200 kit menjahit untuk diagihkan kepada anak-anak pesalah dadah ini.
“Kami juga mengajar mereka bagaimana untuk menjahit butang kerana kami rasa ramai daripada ibu bapa mereka yang di penjara dan penjaga warga emas mereka tidak akan dapat mencari masa untuk mengajar mereka kemahiran hidup penting ini.”
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, yang hadir bagi acara tersebut yang diadakan di Wisma Mendaki, memuji usaha ini dan berkata ia membawa makna yang lebih mendalam.
Ia, katanya, mengajar anak-anak ini bahawa kemahiran baru yang ditimba boleh membuka lebih banyak pintu kepada peluang walaupun mereka berada dalam keadaan yang mudah terjejas.
Kanak-kanak itu pada hari ini menerima wang bagi tujuan pendidikan bernilai $20,000 secara keseluruhan daripada HGEF.
Tahun ini, pelajar menerima jumlah wang lebih tinggi, satu kenaikan sebanyak 20 hingga 30 peratus berbanding sebelumnya, di tengah-tengah inflasi, kos kehidupan yang meningkat, dan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dikenakan tahun depan.
Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) juga telah menderma 100 kit bertemakan keluarga kepada HGEF sebagai sebahagian sambutan ulang tahun ke-70 badan itu.
Ibu bapa dan penjaga yang hadir pada hari ini diajar Cik Juliana Johari daripada Jules Perfect Practice mengenai pelbagai teknik untuk menenangkan minda.
Penulis, pendidik dan usahawan Rilla Melati Bahri pula berkongsi pengalamannya sebagai ibu tunggal.
Sejak 2005, HGEF telah mengagihkan lebih $700,000 yang memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 pelajar.