Usaha bina keluarga perlukan sokongan menyeluruh

Usaha bina keluarga perlukan sokongan menyeluruh

This article was originally published by Berita Harian on 17 February, 2023.

INSENTIF kewangan sahaja mungkin tidak mencukupi bagi mendorong pasangan untuk mempunyai lebih ramai anak.

Motivasi di sebalik keputusan pasangan untuk membina keluarga merangkumi pelbagai aspek dan sokongan yang menyeluruh, kata pemerhati kepada Berita Harian (BH) pada Khamis.

Langkah untuk menyokong keluarga muda dan menggalakkan keibubapaan telah diumumkan semasa Belanjawan 2023, bertujuan untuk menggalakan kesuburan dan penjagaan anak.

Ia amat menyeluruh dan menunjukkan komitmen pemerintah untuk meningkatkan kesuburan penduduk dan merangkumi lebih banyak sokongan tunai dalam bentuk Bonus Bayi yang lebih tinggi, peningkatan caruman pemerintah kepada Akaun Pembangunan Kanak-Kanak (CDA), dan cuti bapa yang dibayar pemerintah digandakan.

Menurut Cik Azita Abdul Aziz, Pengarah Kanan, Divisyen Perkhidmatan Sosial, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), langkah itu amat dialu-alukan terutama bagi ibu bapa dan pasangan yang telah merancang untuk mempunyai anak.

“Langkah sedemikian memberi insentif kepada mereka untuk memulakan rancangan mereka bagi membina keluarga terutamanya dengan langkah yang boleh menyokong anak mereka dengan lebih baik pada tahun-tahun awal.

“Langkah yang dipertingkatkan ini akan membantu meningkatkan lagi usaha dalam menggalakkan akses awal kepada pendidikan,” kata beliau.

Namun beliau menambah bahawa hal kewangan hanyalah satu aspek yang mempengaruhi keputusan mereka terutama bagi mereka yang tidak mahu atau ragu-ragu untuk mempunyai anak.

“Rasional mereka mungkin melangkaui kekangan atau pertimbangan kewangan dan dipengaruhi oleh tahap sokongan penjagaan, pertimbangan kesihatan atau dipengaruhi oleh fasa kehidupan yang mereka alami sekarang,” ujar beliau.

Timbalan Pengerusi Pembangunan Sosial dan Keluarga Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC), Cik Joan Pereira, juga akur langkah-langkah yang diumumkan Belanjawan 2023 sangat berguna untuk membantu pasangan merancang mempunyai anak.

“Apabila pasangan membuat keputusan untuk mempunyai anak, hal kewangan adalah salah satu faktor yang mempengaruhi keputusan mereka,” ujar beliau, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tanjong Pagar .

Namun beliau menambah bahawa perkara sebenar tidak semudah itu terutama dalam meredakan kebimbangan yang mungkin ada pada orang ramai.

“Langkah lain yang boleh membantu boleh termasuk subsidi untuk pengasuh dan pembantu yang akan meringankan beban ibu bapa yang bekerja dan terpaksa bergelut antara bekerja dan menjaga anak,” kata beliau.

Bagi keluarga yang mencari nafkah di antara pekerjaan, atau mengambil berat tentang ketibaan bayi yang baru lahir, setiap dolar dalam tempoh inflasi ini dikira dan membantu untuk mengurangkan tekanan ke atas unit keluarga.

Peningkatan caruman pemerintah kepada akaun CDA dan peningkatan wang tunai Bonus Bayi akan mengurangkan sedikit tekanan ke atas perbelanjaan.

Cuti bapa yang dibayar pemerintah selama empat minggu – naik daripada dua minggu sekarang – serta Pelepasan Cukai Anak bagi Ibu Bekerja (WMCR) yang tetap bagi semua ibu tanpa mengambil kira peratusan pendapatan mereka, juga akan membantu mereka yang akan mempunyai anak.

Langkah ini semua menggambarkan bagaimana Belanjawan 2023 mengimbangi semula perkara untuk memberi sokongan kepada individu dan isi rumah yang lebih memerlukan bantuan.

Namun Encik Ishak Ismail, Pengerusi Majlis Keluarga Sepanjang Hayat, menyatakan bahawa sokongan sosial dan kewangan sahaja tidak akan mencukupi.

Sebaliknya, ia memerlukan setiap orang dalam masyarakat, termasuk rakan kongsi masyarakat, korporat dan individu memainkan peranan dalam menggalakkan pasangan membina keluarga.

“Kita perlu memanfaatkan kepakaran dan sumber daripada semua orang untuk menyokong individu dan keluarga dengan penyelesaian yang betul bagi menangani keperluan setiap keluarga pada peringkat kehidupan yang berbeza,” katanya.

Beliau menambah bahawa pendekatan seluruh masyarakat perlu diambil untuk memastikan keluarga boleh berkembang maju.

Encik Ishak juga berkata di luar peruntukan cuti ibu bapa, majikan dan rakan sekerja perlu juga menyediakan persekitaran tempat kerja yang mesra keluarga untuk membantu ibu bapa menguruskan kededua kerja dan komitmen penjagaan anak.

“Sikap saling memahami dan menyokong antara majikan dengan pekerja adalah kunci bagi mencari huraian fleksibel, agar kita dapat memupuk budaya tempat kerja yang menyokong keluarga, di samping memenuhi keperluan perniagaan dan memperkukuh daya tahan operasi,” katanya.

Beliau juga menekankan bahawa kaum bapa juga harus lebih terlibat di rumah untuk menyokong isteri mereka.

Cik Azita juga menyatakan selain menyediakan lebih banyak sokongan kepada keluarga, anjakan minda juga penting.

“Lebih banyak bantuan positif perlu untuk mendidik dan membantu orang ramai dan majikan menghargai peranan yang dimainkan oleh ibu bapa terutamanya kaum bapa.

“Ia amat penting untuk menyokong keluarga dalam peranan penjagaan mereka bagi mengurangkan sebarang pergeseran dan rintangan apabila melaksanakan langkah yang diumumkan,” katanya yang akur ia akan mengambil masa bagi peralihan ke arah masyarakat yang lebih mengutamakan keluarga.

Justeru, Belanjawan 2023 telah menyediakan lebih banyak langkah permulaan progresif untuk menyokong keluarga muda dan menggalakkan keibubapaan bagi meningkatkan kesuburan penduduk.

Insentif kewangan yang diumumkan seperti peningkatan Bonus Bayi boleh membantu ke arah mencapai matlamat tersebut tetapi sokongan kewangan sahaja mungkin tidak mencukupi untuk memujuk sesetengah rakyat untuk mempunyai lebih ramai anak.

Lebih banyak langkah yang harus diambil bagi mengatasi cabaran – seperti mengubah pemikiran rakyat untuk mempunyai keluarga yang lebih besar; menyediakan pekerjaan lebih fleksibel; serta keseimbangan dalam kerja dan kehidupan yang lebih baik untuk ibu bapa bekerja.

Langkah sedemikian mungkin boleh mendorong keluarga mempunyai lebih ramai anak dan boleh membuat perbezaan yang sebenar dalam jangka masa yang panjang.