Home > News & Media > PPIS lantik 4 Rakan dan Duta Bahasa Cilik sempena Bulan Bahasa
PPIS lantik 4 Rakan dan Duta Bahasa Cilik sempena Bulan Bahasa
Last Update on January 5, 2024
This article was originally published by BERITA on 6 September, 2023.
SINGAPURA: Bagi mendorong dan menggalak rasa cinta terhadap Bahasa Melayu sesama murid, Pusat Jagaan Pelajar Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) 7oaks melantik empat Rakan dan Duta Bahasa Cilik.
Pelantikan mereka diumumkan semasa acara Muzikal Cilik 2023 yang diadakan sempena Bulan Bahasa di Wisma Geylang Serai pagi tadi (6 Sep).
Untuk tempoh setahun ke hadapan, mereka bakal mendampingi rakan-rakan mereka untuk sama-sama menyemai rasa cinta dan membudayakan penggunaan Bahasa Ibunda dalam kehidupan seharian.
Mereka juga diberi peluang untuk mengasah pengetahuan dan keupayaan mereka dalam Bahasa Melayu menerusi pelbagai bengkel dan kegiatan anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).
Para duta cilik itu terpilih atas prestasi cemerlang mereka dalam beberapa pertandingan termasuk nyanyi lagu-lagu masyarakat, deklamasi puisi dan pidato.
ZARA RIZQAH, ZUBIR AMHAD DILANTIK SEBAGAI DUTA BAHASA CILIK
Antara yang terpilih menjadi Duta Bahasa Cilik itu ialah Zara Rizqah Mohammad Rashid, 9 tahun dari Pusat Jagaan Pelajar PPIS 7oaks, Bedok.
“Saya dan adik beradik saya menggunakan Bahasa Melayu dalam perbualan harian kami. Untuk memupuk minat dalam bahasa Melayu, ibu bapa saya mengajak saya dan adik beradik saya untuk mendengar lagu-lagu Melayu dan menonton rancangan atau filem Bahasa Melayu,” kongsi Zara.
Zara sebelum ini merupakan Rakan Bahasa Cilik pada tahun lalu.
“Saya harap saya dapat meneruskan usaha ini bukan sahaja bersama keluarga saya tetapi juga bersama kawan-kawan dan saudara-mara saya. Sekiranya saya selesa berbahasa Melayu, orang lain juga akan selesa berbahasa Melayu dengan saya,” ujar Zara.
Seorang lagi murid yang diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab selaku Duta Bahasa Cilik 2023 ialah Zubir Ahmad Muhammad Darwis, 9 tahun.
“Saya akan mengingatkan kawan-kawan saya supaya bertutur dalam Bahasa Melayu contohnya, semasa waktu makan tengah hari bersama ataupun semasa kami bermain bersama-sama,” menurut Zubir.
“Saya juga akan membaca buku-buku Bahasa Melayu bersama kawan-kawan saya dengan lebih kerap lagi,” tambahnya.
MUZIKAL ‘POHON BERJASA’ DIJAYAKAN SEMPENA BULAN BAHASA
Sempena Bulan Bahasa, dua pusat jagaan pelajar 7oaks juga bergabung bagi menjayakan sebuah muzikal berjudul ‘Pohon Berjasa’.
Muzikal itu menerapkan pelbagai nilai murni bagi menggalak penghargaan dan pemeliharaan terhadap budaya dan warisan Melayu.
“Kami terdorong untuk memilih konsep muzikal kerana ada kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan nyanyian dan lagu boleh membantu perkembangan kanak-kanak dalam pemahaman bahasa,” menurut Penyelia Kanan Pusat Jagaan Pelajar PPIS 7oaks Bedok, Cik Zaleha Ahmad.
“Kedua, penggunaan lagu dan menghafal skrip boleh menolong mereka menerap sesuatu bahasa dan melatih menyebut perkataan baru. Seni persembahan muzikal juga adalah satu cara yang kreatif dan menarik, yang boleh menggabungkan budaya dan bahasa. Pelajar boleh menghayati keindahan bahasa Melayu melalui melodi, lirik dan persembahan visual,” tambahnya lagi.
Acara itu dihadiri oleh lebih 100 peserta, termasuk pelajar, ibu bapa dan para kakitangan.
Ia juga termasuk Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2023, Zhulkarnain Abdul Rahim yang “berbesar hati” melihat sokongan ibu bapa bagi acara tersebut.
Antara yang hadir termasuk Cik Suhaida Mohamed Shah, ibu kepada salah seorang pelajar pusat jagaan itu.
Beliau memuji usaha pusat penjagaan pelajar PPIS 7oaks dalam menggalak penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajarnya.
“Saya berasa amat gembira kerana dia dapat menyertai pelbagai program Bahasa Melayu yang telah diadakan. Dua tahun lepas, dia menyertai bengkel pembelajaran untuk murid-murid darjah lima dan dengan adanya program itu, saya rasa gembira kerana keputusan peperiksaannya sangat memuaskan hati,” menurut Cik Suhaida.
“Kami sebagai ibu bapa menyokong dan mengadakan suasana yang selesa di rumah untuk anak-anak kami berbahasa Melayu dan saya amat gembira dan berterima kasih kepada para kakitangan dan usaha yang diadakan oleh pusat jugaan pelajar PPIS 7oaks,” tambahnya.
Ini merupakan tahun ketiga Pusat Jagaan Pelajar PPIS 7oaks menganjurkan acara Bulan Bahasa.