Rumah peralihan Rise Above bantu 103 pesalah wanita dalam pemulihan

Home > News & Media > Rumah peralihan Rise Above bantu 103 pesalah wanita dalam pemulihan

Rumah peralihan Rise Above bantu 103 pesalah wanita dalam pemulihan

This was originally published by Berita Harian on 8 December 2024.

Sejak dirasmikan pada Julai 2023, Rumah Peralihan Rise Above (RAHWH) kendalian Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) telah berkhidmat kepada seramai 103 pesalah wanita yang menjalani program pemulihan masyarakat.

Daripada jumlah itu, seramai 48 telah berjaya disepadukan semula ke dalam masyarakat.

PPIS memberi perkembangan itu sempena sambutan ulang tahun pertama Rise Above, rumah peralihan sekular pertama untuk wanita di Singapura yang dibuka rasmi pada Julai 2023.

Rumah peralihan itu terletak di St George’s Lane.

Badan tersebut meraikan ulang tahun pertama Rise Above dan Red Space, sebuah pusat khidmat sehenti untuk wanita di Blok 1 Eunos Crescent, dalam satu acara pada 7 Disember.

Red Space, yang dilancarkan pada Oktober 2023 pula, telah membantu lebih 500 wanita pada tahun sulungnya, melalui program pendidikan, kesejahteraan, dan pembangunan profesional.

Sambutan ulang tahun dua pusat itu diadakan menerusi acara Hari Kesejahteraan Wanita di Red Space pada 7 Disember, menurut satu kenyataan PPIS.

Acara itu dihadiri seramai 60 peserta termasuk pelajar daripada institut pengajian tinggi (IHL), wanita bekerja, golongan ibu, dan penghuni Rise Above serta keluarga mereka.

Untuk memperingati tahun pertamanya, Rise Above memperkenalkan Pasport Kesihatan untuk penghuni bagi membantu mereka memantau perjalanan kesihatan dan kesejahteran mereka.

Pasport Kesihatan itu ialah alat inovatif yang dibangunkan dengan kerjasama Dr Julianah Abu, pakar perbidanan dan sakit puan yang berpengalaman, dan ahli Jawatankuasa Penasihat Rise Above.

Semua penghuni semasa dan akan datang bakal menerima Pasport Kesihatan mulai 2025, tambah PPIS.

Prototaip bagi inisiatif itu turut dipamerkan semasa acara tersebut.

Selain ceramah kesihatan mental tentang pengurusan tekanan dan peralihan kehidupan, acara itu turut menampilkan reruai kesejahteraan yang menawarkan pemeriksaan kesihatan mental, kegiatan santai, serta ruang kreatif untuk ketenangan minda dan renungan.

Penghuni Rise Above turut menyumbang dan menyertai acara reruai, serta mencipta barangan bagi kit kesejahteraan yang diagihkan semasa acara tersebut.

Presiden PPIS, Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, yang juga Anggota Parlimen Dilantik (NMP) berkata: “Dengan meraikan kejayaan ini, kami mengiktiraf kekuatan dan daya tahan wanita dalam masyarakat kami. Kerjasama kami menyerlahkan kesan luar biasa daripada inisiatif yang dipacu komuniti dalam menyokong wanita dan membantu mereka berkembang maju.

“Bersama-sama, kami meletakkan asas untuk masa depan di mana setiap wanita mempunyai sokongan dan sumber yang diperlukan untuk berkembang maju.”

Seorang yang telah menyertai program di Red Space, Cik Rozana Karim, 53 tahun, berkata: “Menghadiri acara Red Space telah membekalkan saya dengan kemahiran dan sumber untuk mengemudi pelbagai platform dan membina hubungan bermakna.

“Saya percaya ilmu ialah alat paling berharga dalam melakar langkah kami yang seterusnya. Kami hanya perlukan masa, tumpuan dan tindakan susulan.”