Home > News & Media > AGM PPIS: Dua wajah baru dilantik sebagai pemegang jawatan; visi baru kecemerlangan wanita dan keluarga dibentang
AGM PPIS: Dua wajah baru dilantik sebagai pemegang jawatan; visi baru kecemerlangan wanita dan keluarga dibentang
This article was originally published by Berita Harian on 24 September, 2022.
PERSATUAN Pemudi Islam Singapura (PPIS) melangkah ke fasa baru sempena sambutan jubli platinum mereka dengan visi baru, ‘Masyarakat Wanita Berjaya dan Keluarga Berkembang Maju’.
Ini diumumkan pada Sabtu (24 September) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PPIS yang ke-51 di Grand Mercure Singapore Roxy, di mana Lembaga Tadbir Urus ke-26 dilantik.
AGM PPIS yang kembali secara fizikal disertai 26 anggota sepanjang hayat dan biasa PPIS, jelas satu kenyataan persatuan ini pada Sabtu.
Dalam AGM tersebut, Cik Hazlina Abdul Halim dilantik semula selaku Presiden PPIS.
Naib Presiden I, Cik Suree Rohan; Naib Presiden II, Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim; Setiausaha Kehormat, Cik Nor Ainah Mohamed Ali; Penolong Setiausaha Kehormat, Cik Nur Khairah Abdul Rahim dan Bendahari Kehormat, Cik Noraini Rizman Ali turut dilantik semula.
Begitu juga dengan anggota lembaga, Cik Fawziah Jainulabudeen, Cik Khuzaima Raja Kamarul-Den, Cik Jummaida Rusdon, Cik Maria Mahat serta presiden PPIS sebelum ini, Cik Rahayu Mohamad.
Pada AGM berkenaan, dua wajah baru telah diperkenalkan iaitu Cik Azlinda Zainal Abidin sebagai Penolong Bendahari Kehormat dan Cik Liyana Sinwan selaku anggota lembaga.
Cik Azlinda adalah pengurus kewangan di Emirates National Oil Company Singapore Pte Ltd manakala Cik Liyana adalah peguam sekutu kanan di K&L Gates Straits Law LLC.
Menurut PPIS, barisan anggota lembaganya yang terdiri daripada karyawan dan pakar dalam bidang khusus akan terus memainkan peranan penting dalam usaha bersama PPIS dalam membentuk ekosistem yang dapat memupuk kebingkasan kaum Hawa dan keluarga mereka, menguatkan kapital sosial dan membantu masyarakat berkembang maju.
Memberi pengamatannya, Cik Hazlina berkata:
“Dua tahun lalu adalah yang tempoh transformatif. Covid-19 adalah dorongan bagi seluruh dunia mendakap perubahan dan PPIS tidak terkecuali.
“Selepas 70 tahun, masanya tepat untuk kita membayangkan semula masa depan pertubuhan ini untuk kekal relevan dan teruskan memenuhi keperluan landskap sosial masyarakat yang berubah dan memenuhi jangkaan generasi wanita Muslim masa kini dan mendatang.
“Satu cara kekal relevan adalah untuk sentiasa mengalu-alukan bakat baru. Kami bangga mempunyai dua anggota baru dalam lembaga dan dua pemegang jawatan baru yang akan memperkukuh pasukan pemimpin kami.”
Sepanjang tahun kewangan lalu, PPIS telah mencatat beberapa pencapaian buat kali pertama dalam misinya mencetus wanita dan memperkukuh keluarga.
Perkembangan lain yang boleh dinantikan dalam masa beberapa bulan mendatang termasuk Forum Karyawan Perkhidmatan Sosial PPIS, pengumuman tentang khidmat utama bagi Ruang Wanita PPIS serta majlis makan malam gala ulang tahun ke-70 PPIS pada hujung tahun.