PM Lee: Banyak kemajuan dicapai Mendaki

Home > News & Media > PM Lee: Banyak kemajuan dicapai Mendaki

PM Lee: Banyak kemajuan dicapai Mendaki

Last Update on October 18, 2023

This article was originally published by Berita Harian on 04 September, 2022.

PERMULAAN MENDAKI

Mendaki ditubuhkan 40 tahun yang lalu. Ketika itu, kelakonan pelajar-pelajar Melayu di sekolah adalah membimbangkan. Ramai tidak dapat memenuhi keupayaan mereka. Sedikit sekali yang tamat PSLE, peringkat ‘O’ dan ‘A’. Malah lebih sedikit lagi yang dapat ke universiti.

Tidak hairanlah, kelakonan sosioekonomi Melayu/Islam juga ketinggalan.

Para pemimpin Melayu/Islam seperti Dr Ahmad Mohamed Mattar, Encik Sidek Saniff dan Allahyarham Haji Ridzwan Haji Dzafir, melihat perlu segera melakukan lebih banyak lagi bagi meningkatkan taraf masyarakat. Mereka sedar bahawa pendidikan adalah pemangkin kemajuan masyarakat.

Pendidikan yang baik membuka pintu bagi kerjaya dan pekerjaan yang lebih baik. Dan justeru mendapatkan gaji yang lebih tinggi dan kehidupan yang lebih bermakna. Dan ini juga, mewujudkan sekitaran yang lebih baik bagi membesarkan anak-anak, dan menikmati peluang-peluang yang lebih baik bagi generasi akan datang.

Pada 1982, para pemimpin masyarakat telah mengadakan Kongres Pendidikan Mendaki dengan menghimpunkan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam dan membincangkan kaedah memperbaiki taraf pendidikan Melayu di Singapura. Ini telah membawa kepada penubuhan Mendaki dengan tumpuan yang kukuh terhadap pendidikan. Tetapi untuk meningkatkan taraf seluruh masyarakat bukanlah mudah.

Encik Lee Kuan Yew merasmikan Kongres Pendidikan Mendaki. Beliau menekankan tiga perkara:

Pertama, jangan hanya fokus kepada yang terbaik – mereka yang ke universiti. Tetapi berusaha meningkatkan taraf pendidikan di semua peringkat – prasekolah, sekolah-sekolah rendah dan menengah, politeknik dan ITE. Ini dapat membantu agar seluruh masyarakat maju.

Kedua, mengerahkan para sukarelawan dan menghimpunkan masyarakat supaya membuat sumbangan dan berkhidmat. Sukarelawan dari kalangan masyarakat Melayu Islam.

Memahami dengan lebih baik keperluan masyarakat. Dan menyediakan sokongan psikologi yang kuat kepada mereka yang dibantu. Ini memerlukan usaha berterusan bagi memanfaatkan bantuan pemerintah. Ketiga, semua usaha itu memerlukan banyak “stamina dan ketekunan”. Ia memakan masa bertahun-tahun sebelum membuahkan hasilnya. Kerana huraiannya tidak boleh dibuat dengan sekelip mata, Mendaki harus menangkis keghairahan untuk segera mencapai matlamatnya.

KEMAJUAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Masyarakat Melayu/Islam menuruti nasihat Encik Lee. Hari ini, selepas 40 tahun bekerja keras, kedudukan pendidikan telah mencapai banyak kemajuan. Pada awal 1980an, hanya sekitar separuh daripada kohort pelajar Melayu yang lulus di peringkat ‘O’. Hari ini, bukan saja setiap mereka melanjutkan pelajaran di peringkat ‘O’, tetapi 99 peratus dari kohort pelajar Melayu menyelesaikan pendidikan selama 10 tahun.

Dan sebahagian besar (lebih 90 peratus) melanjutkan pendidikan di peringkat pasca menengah. Bilangan siswazah Melayu juga telah bertambah dengan banyaknya. Sebelum ini, hanya 0.4% orang Melayu yang berusia 25 tahun ke atas memiliki ijazah universiti. Bilangan ini meningkat berlipat ganda, menjadi lebih 10%. Gembira kerana kemudian kita akan menyampaikan anugerah kepada lebih 100 pelajar Melayu/Islam yang cemerlang.

Di taraf antarabangsa, para pelajar Melayu kita juga telah menunjukkan kelakonan yang baik. Menurut hasil kajian PISA (Program Penilaian Pelajar Antarabangsa) baru-baru ini dari 2018 – yang melibatkan negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan China – menunjukkan kelakonan para pelajar Melayu kita adalah lebih baik daripada purata negara anggota OECD dalam matematik, dan setanding dalam pembacaan dan sains.

Lebih penting lagi, minda sudah beralih. Ibu bapa memahami peri pentingnya pendidikan dan menyokong anak-anak mereka dalam pembelajaran. Anak-anak ghairah menimba pengetahuan baru dan memperbaiki diri. Hasil kemajuan dalam pendidikan ini membolehkan masyarakat Melayu/Islam mencapai kejayaan sosial dan ekonomi yang mereka nikmati hari ini. Mereka mempunyai pendapatan yang lebih tinggi dan menikmati taraf hidup yang lebih baik. Mereka telah membuat sumbangan yang amat berharga di semua lapisan masyarakat kita.

Termasuk sebagai doktor, penyelidik bio-kimia, jurutera IT, artis, peguam dan tentera, dan beberapa lagi. Kadangkala, orang lupa dan memandang remeh akan perkara ini. Terutama orang-orang muda yang tidak mengalami keadaan sebelumnya. Tetapi bagi mereka yang telah menjalani kehidupan dan membantu menjayakannya, faham betapa besarnya usaha ini, dan mengapa ia dilihat sebagai satu pencapaian besar bagi masyarakat Melayu/Islam, dan malah seluruh rakyat Singapura harus berbangga.

Mendaki memainkan peranan besar dalam mencapai kejayaan ini. Dengan sokongan pemerintah, Mendaki telah melaksanakan banyak program, seperti KelasMatematika (KMM) dan Skim Tuisyen Mendaki. Untuk para pelajar di semua peringkat, dari prasekolah hingga ke peringkat universiti.

Ia telah melancarkan inisiatif di luar sekolah. Misalnya, program bimbingan dan nasihat kerjaya. Atau program tahunan, bulan Raikan Ilmu, iaitu merayakan semangat pembelajaran sepanjang hayat. Acara pesta ini kini memasuki tahun ke-4. Gembira dapat melancarkan bulan Raikan Ilmu pada tahun ini. Lebih 40 acara dan aktiviti pembelajaran bagi semua kumpulan umur, bagi semua lapisan masyarakat. Tentunya, Mendaki tidak melakukan sendirian. Mendaki bekerja rapat dengan MUIS dan PA MESRA dalam rangka kerja M3, bagi menggerakkan pelbagai program.

Misalnya, Projek DIAN@M3, bagi menyediakan bantuan pembelajaran di rumah kepada kanak-kanak yang tinggal di flat-flat sewa. Banyak pertubuhan Melayu/Islam lain, juga turut membuat sumbangan ke arah kemajuan masyarakat. Contohnya, AMP Singapura, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Jamiyah, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), dan Dewan Perniagaan dan Industri Melayu Singapura (SMCCI).

Beberapa lagi bekerja bersama-sama Mendaki. Yang lain pula bersaing sebagai rakan Mendaki untuk menyediakan program yang lebih baik dan mendekati lebih ramai orang. Pada masa yang sama, sekolah-sekolah dan para guru kita bekerja rapat dengan para ibu bapa untuk mendidik dan memperbaiki kelakonan anak-anak di semua peringkat tanpa mengira kumpulan kaum.

Semua – pertubuhan, individu, masyarakat dan pemerintah – berusaha ke arah matlamat yang sama. Menggembleng tenaga dan penghayatan para sukarelawan. Mempamer nilai-nilai bantu diri dan pelibatan masyarakat dalam menangani isu-isu tertentu di kalangan masyarakat. Mendorong kumpulan lain supaya turut serta bagi menangani cabaran aspek lain. Menyemai keyakinan dan rasa bangga, atas kejayaan masyarakat atas usaha sendiri. Kerana dengan contoh perintis Mendaki, masyarakat yang lain kemudiannya akan turut menubuhkan Kumpulan Bantu Diri yang serupa.

Seperti SINDA, CDAC, dan Persatuan Serani. Mereka juga telah bekerja dengan baik, bekerja dengan masyarakat mereka sendiri dan bekerja sama antara satu sama lain bagi mengumpulkan sumber-sumber dan melakukan projek bersama. Gembira kerana Mendaki akan melancarkan Anugerah Sanjungan Budi kepada individu yang telah bekerja rapat dengannya bagi memajukan pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Tahniah kepada penerima anugerah ini!. Semoga anugerah ini dapat merangsang individu lain supaya tampil berkhidmat kepada masyarakat dan Singapura.

MELANGKAH KEHADAPAN

Sedang masyarakat Melayu/Islam mencapai kemajuan, kita sekarang mesti mengejar lebih tinggi dan lebih jauh.

Aspirasi dan keperluan masyarakat meningkat.

Para pelajar di setiap peringkat upaya ingin melakukan lebih baik lagi, dan kita mesti memberi sokongan kepada mereka untuk berbuat demikian, bukan hanya kepada mereka yang sudah berada di atas.

Pendidikan sekarang berlanjutan ke arah pembelajaran sepanjang hayat. Kerana para pekerja Melayu/Islam juga terjejas dengan perubahan sempadan dari segi ekonomi dan pasaran pekerjaan. Terutama para pekerja usia lanjut yang kurang berkelayakan yang lebih menghadapi risiko.

Pada masa yang sama, satu bahagian dalam masyarakat masih menghadapi kesukaran. Ada yang dari keluarga yang bercerai berai, dan yang lainnya terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Banyak yang terpaksa tinggal di flat-flat sewa, kesulitan untuk hidup stabil. Anak-anak mereka dibesarkan dalam suasana yang tidak kondusif, kesulitan dalam pelajaran, mundur berbanding rakan-rakan di sekolah sejak usia kecil lagi.

Keluarga seperti ini memerlukan bantuan bukan saja tentang pelajaran anak-anak mereka, tetapi juga untuk mengatasi kepincangan sosial dan ekonomi yang menjadikan kanak-kanak itu sukar untuk keluar dari lingkaran kemiskinan.

Terdapat juga keluarga seperti itu dalam masyarakat lain, tetapi bilangannya di kalangan masyarakat Melayu/Islam lebih banyak dan ini membimbangkan.

BANYAK YANG PERLU DILAKUKAN OLEH MENDAKI

Misi Mendaki untuk memajukan masyarakat melalui pendidikan kekal relevan dan penting. Tetapi dalam konteks kehidupan hari ini, Mendaki mesti mentakrifkan pendidikan dari sudut yang lebih luas. Pertama, Mendaki perlu meluaskan sokongannya dengan memulakan lebih awal, di peringkat awal kanak-kanak.

Penting bagi kita memberikan anak-anak, terutama dari keluarga yang kurang bernasib baik, awal hidup yang baik. Ini selaras dengan inisiatif nasional, seperti KidSTART, yang juga menumpukan perhatian dalam tahun-tahun awal hidup mereka.

Kedua, Mendaki perlu bekerja dengan keluarga yang kurang bernasib baik ini untuk membantu mereka menghuraikan isu-isu keluarga dan masalah sosial. Supaya kanak-kanak dari keluarga berkenaan dapat membesar dan belajar dalam suasana yang lebih mendukung mereka.

Ini memerlukan pelibatan sosial dan malah individu, dan di sinilah para sukarelawan Mendaki, kaunselor dan pembimbing harus bekerja dengan keluarga berkenaan, dan dapat mewujudkan perbezaan besar.

Ketiga, Mendaki perlu menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di kalangan para pekerja kita. Bagi membolehkan mereka kekal bekerja, merebut peluang baru dan maju di tengah-tengah arus ekonomi. Oleh itu, saya gembira dengan usaha Mendaki meneroka idea baru bagi memenuhi misi luasnya dan memperbaiki lagi pencapaian pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Minggu depan, Mendaki akan melancarkan pula Persidangan Masyarakat Gemilang. Ini adalah platform para pemimpin masyarakat, karyawan dan belia untuk berhimpun. Bagi membincangkan isu-isu yang dihadapi masyarakat. Mengemukakan pemikiran baru, dan mengulangi komitmen mereka dalam meneruskan usaha penuh kesabaran yang telah dapat membantu masyarakat sejauh ini.

Semua ini memerlukan sumber-sumber. Mendaki telah mengumumkan bahawa bagi memperingati Ulang Tahun Ke-40, ia ingin mengumpulkan $40 juta. Ini akan membolehkannya memperbaiki lagi program sedia ada dan melaksanakan skim baru yang akan merubah masyarakat.

Pemerintah menyokong usaha ini. Pemerintah akan memberikan sumbangan dolar ke dolar bagi jumlah yang dikumpulkan Mendaki sehingga $20 juta.

Jadi jika Mendaki boleh mengumpulkan $20 juta atas usahanya sendiri, ia akan dapat memenuhi matlamat $40 juta.

Gembira mendapat tahu bahawa beberapa penderma telah tampil. Pada masa yang sama, gembira yang mereka selain masyarakat Melayu/Islam juga turut memberikan sumbangan. Saya galakan mereka yang berkemampuan supaya menyokong Mendaki dalam usaha ke arah ini.

KESIMPULAN

Masyarakat Melayu/Islam Singapura telah banyak bekerja selama beberapa tahun untuk maju. Mendaki telah memainkan peranan penting dalam sejarah ini. Saya yakin bahawa Mendaki dan masyarakat akan terus berjuang dan cemerlang, dan terus mencapai kemajuan yang lebih tinggi dalam tahun-tahun yang akan datang. Tahniah sekali lagi kepada semua pemenang Anugerah Mendaki hari ini. Saya ucapkan Selamat Ulang Tahun Ke-40 Mendaki.