Anggota Tunas Bersama M³ dapat luaskan jaringan sosial & pengetahuan sepanjang 18 bulan

Anggota Tunas Bersama M³ dapat luaskan jaringan sosial & pengetahuan sepanjang 18 bulan

This article was originally published by BERITA Mediacorp on 15 January, 2023.

SINGAPURA: Seramai 13 pemimpin muda yang mewakili badan-badan Melayu/Islam (MMO) terpilih menjadi kumpulan pertama bagi inisiatif Tunas Bersama M³.

Ia bertujuan memupuk generasi pemimpin yang seterusnya.

Selain ilmu pengetahuan, mereka juga dilengkapi dengan kemahiran dan rangkaian untuk memimpin masyarakat dan pertubuhan masing-masing dengan lebih cekap lagi.

Semasa sidang media bagi mengulas mengenai pencapaian dan cabaran masyarakat Melayu/Islam Singapura sepanjang tahun 2022, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad, berkongsi beberapa kemas kini tentang inisiatif yang diumumkan pada Mei 2021 itu.

Ia termasuk maklum balas baik bagi mereka yang menjalani program selama 18 bulan itu.

“Kita melihat perjalanan yang baik bagi mereka dan tindak balas yang baik daripada mereka bagi program ini oleh kerana mereka bukan sahaja mendapat pendedahan kepada konsep kepimpinan atau pengurusan tetapi mereka juga dapat menjalankan program bersama dan ini dapat menyatukan kepimpinan baru bagi MMO kita,” kongsi Encik Zaqy.

“Saya yakin dengan program ini, kita akan melihat suasana yang lebih bersama dengan MMO kita buat masa hadapan. Ini memberikan kita peluang untuk membawa kepimpinan Melayu bersama,” tambahnya lagi.

Antara 13 anggota Tunas yang menyokong dan meraih manfaat daripada program itu ialah Naib Presiden Pertapis, Encik Firdaus D’Cruz, 38 tahun.

Menurut beliau, kursus-kursus yang sudah beliau sertai dapat “mempertingkatkan kecekapan dalam pemimpin-pemimpin dan ketua-ketua” dalam perbadanan masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Sejauh ini, sesi-sesi yang ditawarkan menerusi program itu merangkumi tadbir urus, kesan sosial dan pengumpulan dana.

Modul-modul itu dikendalikan oleh Franklin Covey dan juga Common Purpose.

Sehingga akhir tahun lalu, 12 sesi sudah dianjurkan.

Dalam tahun ini pula, mereka akan mengikuti modul seperti pengurusan perubahan, pengurusan konflik dan perhubungan.

Selain itu, para anggota juga dapat meluaskan jaringan sosial mereka dan bertukar pandangan dan pengetahuan.

“Kami juga mendapati bahawa ini memberikan kami peluang yang amat terbaik untuk kami sebagai pemimpin-pemimpin badan Melayu/Islam Singapura untuk datang menjalinkan hubungan yang lebih rapat, dapat mengenali satu sama lain dapat mengenali, berbual, berbincang tentang isu-isu masyarakat dan itu yang saya amat suka dalam apa yang kami menjalani sekarang,” kongsi Encik Firdaus.

Pada masa yang sama, Encik Firdaus juga berpendapat bahawa program Tunas Bersama M³ itu dapat membentuk satu sistem yang berstruktur, dengan asas yang standard bagi para pemimpin Melayu/Islam muda meraih ilmu dan pengetahuan bagi membimbing masyarakat dan badan mereka sendiri.

“Kita perlu ketahui bahawa setiap pemimpin ataupun ketua-ketua dalam perbadanan Melayu/Islam Singapura mempunyai pengalaman dan juga kemahiran yang lain dan berbeza.

“Jadi dengan kursus pembelajaran yang berstruktur, kita dapat meningkatkan kemahiran dan kecekapan dalam semua, jadi kalau sesiapa yang tidak kuat ataupun tidak begitu mahir dari segi kepimpinan, dia boleh mendapatkannya daripada kursus ini untuk meningkatkan (kemahirannya),” ujar Encik Firdaus.

 

BINA PENDEKATAN MENYELURUH ATASI MASALAH DALAM MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Dengan kelebihan dan kemahiran setiap MMO, beliau berharap setiap pertubuhan itu menggunakannya untuk membina satu pendekatan yang lebih menyeluruh bagi mengatasi masalah-masalah dalam masyarakat.

Ditanya bagaimana Naib Presiden Pertapis itu akan menggunakan apa yang diraih dalam program itu bagi kepimpinannya, Encik Firdaus berkongsi bahawa beliau akan melihat terlebih dahulu kemajuan pertubuhannya itu, cuba untuk mengekalkannya dan merancang bagi fasa seterusnya – lima atau 10 tahun akan datang ini.

 

ANGGOTA KOHORT KEDUA TUNAS BELUM DIPILIH

Meskipun program itu sudah masuk ke fasa akhirnya dan dijangka tamat pada November ini, pihak M³ belum lagi memikirkan tentang pemilihan anggota baru bagi kohort yang seterusnya.

Ini dikongsi Encik Zaqy di sidang media bagi mengulas mengenai pencapaian dan cabaran masyarakat Melayu/Islam Singapura sepanjang tahun 2022.

“Kita perlukan masa untuk melihat bagaimana program ini dijalankan, apakah penilaian yang boleh dilakukan supaya kita dapat memperbaiki program buat sesi yang akan datang,” kongsi Encik Zaqy.

Ini juga termasuk mengambil kira maklum balas para peserta bagi kohort pertama.

Berikut senarai 13 anggota Tunas M³:

1. Ustaz Muhammad Azri Azman, Presiden Persatuan Muhammadiyah
2. Hazlina Abdul Halim, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS)
3. Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, Ahli Bersekutu Jawatankuasa Fatwa MUIS
4. D’Cruz Firdaus Lionel Wilfred, Naib Presiden Pertapis
5. Nassar Zain, Presiden 4PM
6. Dr Noorul Fatha As’art, Pengerusi M³@Woodlands
7. Ahmed Basir Amir Sultan, Naib Presiden IM.Prof
8. Dr Syed Harun Taha Alhabsyi, Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM)
9. Fazli Mansor, Setiausaha Kehormat SMCCI
10. Ustaz Mohammad Taufiq Mohamed Ismail, Naib Presien Perdaus
11. Hazni Aris Hazam Aris, Naib Pengerusi AMP
12. Ustaz Fathurrahman Dawoed, Setiausaha Lembaga Pengurusan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah
13. Muhammad Danial Fadzlon, Bendahari Lembaga Pengurusan Masjid Al-Falah