Home > News & Media > Program mentor bagi pemimpin belia wanita serantau bina keyakinan diri
Program mentor bagi pemimpin belia wanita serantau bina keyakinan diri
This article was originally published by Berita Harian on 24 January, 2023.
DALAM usaha membantu masyarakat Islam mencapai prestasi lebih tinggi, pemimpin pertubuhan Islam perlu digalak membina keupayaan dan keyakinan menguruskan pertubuhan masing-masing.
Ini termasuk pemimpin kaum hawa, terutama sekali di negara di mana Muslim membentuk golongan minoriti.
Bagi mencapai matlamat memupuk golongan pemimpin wanita generasi baru ini, cabang wanita Majlis Dakwah Islam Serantau bagi Asia Tenggara dan Pasifik (Riseap) telah menetapkan beberapa objektif yang perlu dipenuhi dalam usaha tersebut.
Antaranya termasuk program pementoran bagi belia wanita yang membentuk golongan pelapis kepimpinan serta memulakan pertubuhan yang menumpukan kepada isu serta masalah yang dihadapi golongan wanita Muslim di negara anggota Riseap, menurut Timbalan Pengerusi cabang Wanita Riseap, Cik Rahayu Mohamad.
Cik Rahayu, yang sebelum ini berkhidmat sebagai presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), telah dilantik sebagai timbalan pengerusi awal tahun ini.
Harapannya adalah supaya pengalaman serta maklumat yang diraih semasa tempoh khidmatnya sebagai presiden PPIS dapat dimanfaatkan ke arah sistem pembaharuan kepimpinan yang berkesan.
Ini selaras dengan tema tahun ini, ‘Rise Above: Riseap Women Calls for Leadership Succession’ yang ditetapkan semasa mesyuarat Pilihan Raya Cabang Wanita Riseap yang ke-16 yang diadakan pada 1 Januari lalu.
“Konsisten dan selaras dengan matlamat Riseap untuk membantu minoriti Muslim merealisasikan matlamat kolektif mereka dan membantu mempertingkat dan menyatupadukan masyarakat, kepimpinan memainkan peranan utama dalam usaha ini.
“Dengan pengalaman dan maklumat yang telah diraih melalui tempoh kepimpinan saya di PPIS, saya berharap dapat mewujudkan sistem pembaharuan kepimpinan yang membolehkan pemimpin muda untuk dikenal pasti dan untuk memastikan pengalaman pemimpin generasi sebelumnya dapat diturunkan kepada mereka dan seterusnya.
“Ini bermula dengan usaha mengenalpasti bakat, individu wanita yang berminat dan bersedia untuk dimentor serta memiliki kemahiran yang diperlukan bagi melaksanakan tugas,” katanya dalam temu ramah bersama Berita Harian (BH).
Cik Rahayu menambah Riseap mewujudkan rangkaian antara negara anggotanya dan membolehkan negara-negara Islam berbeza untuk belajar dari satu sama lain dalam bidang tumpuan berbeza.
Mengulas lanjut, beliau memberikan contoh bagaimana negara anggota Riseap telah meraih manfaat daripada perkongsian Singapura berkaitan sistem pensijilan halal dan wakaf.
Tahun lalu, pemimpin Riseap juga telah diundang menyertai ICCOS di mana isu hubungan dalam masyarakat dan usaha memastikan masyarakat pluralistik yang kohesif telah dibincangkan.
Sebelum itu, peserta dari negara anggota Riseap juga terlibat dalam program Prism yang membicangkan tentang sistem pengurusan masjid-masjid di Singapura.
“Riseap mewujudkan rangkaian yang kukuh antara negara anggotanya.
“Melalui rangkaian yang kukuh, kerjasama dalam projek inovasi dan kepimpinan dapat diwujudkan, sumber juga dapat dikongsi.
“Ini membantu negara anggota Riseap memastikan agama kekal hidup di negara-negara Asia Tenggara dan Pasifik di mana mereka hidup sebagai minoriti,” ujarnya.