Aidaroyani Adam dilantik CEO baharu PPIS

Aidaroyani Adam dilantik CEO baharu PPIS

Aidaroyani Adam dilantik CEO baharu PPIS

(Gambar: Facebook/MENDAKI Singapore)
This was originally published by Berita Harian on 3 May 2024
SINGAPURA: Cik Aidaroyani Adam dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) pada Khamis (2 Mei).

Beliau akan menggantikan Cik Tuminah Sapawi, kata PPIS dalam satu kenyataan pada Jumaat (3 Mei).

Cik Aidaroyani membawa bersamanya pengalaman luas dan dedikasi yang tinggi terhadap khidmat masyarakat, setelah bertugas 26 tahun bersama Yayasan Mendaki.

Beliau bermula sebagai seorang pegawai eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan Mendaki pada September 1996 dan menggalas tugas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif sejak 2018.

Sepanjang di Mendaki, beliau telah memimpin pelbagai inisiatif dalam usaha memperbaiki prestasi akademik masyarakat Melayu/Islam.

Mengenai pelantikan baharunya, Cik Aidaroyani berkata: “Ia adalah satu penghormatan untuk menyertai PPIS sebagai CEO. PPIS adalah sebuah pertubuhan yang berwibawa dan dikenali dalam masyarakat serta di peringkat kebangsaan,” kata Cik Aidaroyani.

“Saya tidak sabar untuk bekerja bersama-sama pasukan dinamik PPIS untuk menghasilkan lebih banyak lagi idea-idea inovatif ke dalam usaha yang kami lakukan, bukan sahaja untuk memperkasa wanita tetapi menanam rasa yakin diri untuk membawa perubahan yang ingin kami lihat dalam masyarakat,” tambahnya.

Semangat dan dedikasinya terhadap pembangunan masyarakat secara menyeluruh terbukti melalui peranannya dalam menyokong M³, satu inisiatif antara Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra).

PPIS turut menzahirkan penghargaan kepada Cik Tuminah dalam usahanya memperkukuh kepentingan wanita, keluarga dan kanak-kanak.

Cik Tuminah menggalas jawatan PPIS sejak Julai 2019.

Di bawah kepimpinannya, PPIS berjaya mengharungi pandemik COIVD-19 untuk memastikan khidmat yang disediakan tidak terjejas dan dapat diakses penerima bantuan.

Beliau juga menyaksikan pelancaran dua pusat baharu, iaitu rumah peralihan sekular wanita Singapura pertama, Rumah Peralihan Rise Above, dan RED Space, ruang khas bagi wanita untuk mencari bantuan untuk memperbaiki diri mereka. Cik Tuminah kemudian membangunkan strategi pengurusan sukarelawan PPIS, supaya khidmat badan tersebut kekal mampan.

Di bawah kepimpinannya juga, PPIS menerima Anugerah Keprihatinan Masyarakat daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 2023.

“PPIS berjaya mencapai pencapaian penting di bawah kepimpinan Cik Tuminah Sapawi. Beliau adalah seorang pemimpin masyarakat yang dihormati dan bekerjasama dengan Lembaga untuk mengutamakan kepentingan wanita, keluarga dan kanak-kanak,” kata Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim.

“Kami mengalu-alukan kehadiran Cik Aidroyani dalam PPIS, dan kami yakin pengalaman beliau dalam khidmat masyarakat dan kepakaran dalam pembangunan program, selain pemantauan dan penilaian adalah sumbangan penting bagi PPIS sedang kami dakap pendekatan lebih berasaskan data, menjelang sambutan jubli berlian kami pada tahun 2027,” tambahnya.