12 Dec Biasiswa baru khusus untuk penuntut wanita sempena ulang tahun ke-70 PPIS
This article was originally published by BERITA Mediacorp on 7 December, 2022.
SINGAPURA: Sebuah biasiswa baru bagi kaum wanita diperkenalkan oleh Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) sempena ulang tahunnya yang ke-70 hari ini (6 Dis).
Biasiswa khusus bagi kaum wanita itu hasil kerjasama antara PPIS dengan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) bagi para penuntut pos siswazah.
Secara keseluruhannya, S$150,000 akan diagihkan secara bertahap-tahap sepanjang tempoh 10 tahun, mulai tahun depan.
Ini bermakna, S$15,000 akan diperuntukkan setiap tahun.
Biasiswa itu dibuka kepada para pemohon yang merancang untuk meneruskan pengajian atau sedang menjalani pengajian dalam program pos siswazah sepenuh masa dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Kerja Kemasyarakatan atau bidang relevan yang lain.
Selain itu, ia tidak menghadkan para penerima daripada memohon atau mendapatkan biasiswa lain.
Permohonan akan dibuka mulai Jun 2023.
Biasiswa baru itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong di majlis sambutan ulang tahun PPIS pada Selasa (6 Dis).
HARAP LEBIH RAMAI PERAN CONTOH WANITA
Dalam ucapannya, DPM Wong berkata biasiswa itu bertujuan membangunkan kumpulan pemimpin wanita dalam pelbagai bidang.
“Saya berharap ia (biasiswa) akan bantu melahirkan lebih ramai lagi peran contoh wanita bagi masyarakat Melayu/Islam dan terus mencabar tanggapan masyarakat tentang apa yang boleh dicapai oleh wanita dalam masyarakat,” kata DPM Wong.
Bagi membangunkan sebuah masyarakat yang lebih adil, DPM Wong juga menekankan bahawa ia memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pemerintah, majikan dan masyarakat sendiri.
“Saya sokong sepenuhnya visi PPIS untuk membentuk ‘Masyarakat Wanita Berjaya dan Keluarga Berkembang Maju’. Ini akan perlukan usaha seluruh masyarakat. Oleh itu, mari kita terus berganding bahu untuk jadikan ia kenyataan. Bersama, kita boleh bina sebuah masyarakat yang lebih adil dan inklusif,” ujar DPM Wong.
Di majlis itu, beliau juga memberi penghargaannya buat para dermawan dan sukarela yang bantu menjayakan kerja-kerja baik oleh PPIS termasuk beberapa penerima anugerah.