Dr Abdul Razak Chanbasha terima penghargaan tertinggi MUIS

Home > News & Media > Dr Abdul Razak Chanbasha terima penghargaan tertinggi MUIS

Dr Abdul Razak Chanbasha terima penghargaan tertinggi MUIS

Last Update on October 18, 2023

This article was originally published by BERITA Mediacorp on 08 October, 2022.

SINGAPURA: Dr Abdul Razak Chanbasha menerima penghargaan tertinggi dalam Anugerah Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) tahun ini atas sumbangannya kepada beberapa institusi dan jawatankuasa setempat.

Ini termasuk MUIS, Warees Investment, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (RIMA) AMP Singapura dan Darul Arqam.

Anugerah Jasa Cemerlang diberi kepada individu yang membuat sumbangan besar dan bernilai dalam bidang-bidang seperti pendidikan, ekonomi, perkhidmatan masyarakat atau dakwah.

Selain Dr Abdul Razak, lapan individu lain turut diiktiraf dalam Anugerah MUIS tahun ini.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden Halimah Yacob dalam satu majlis di Istana pada Sabtu (8 Okt).

--

Semasa menyampaikan ucapannya di majlis siang tadi, Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen menarik perhatian bahawa para penerima anugerah mencerminkan semangat masyarakat dalam menyebarkan kebaikan dan keihsanan kepada anggota masyarakat yang lain.

“Para penerima Anugerah MUIS datang dari pelbagai latar belakang. Kami mempunyai wakil-wakil lembaga dari badan Melayu/Islam serta beberapa masjid, yang mana kebanyakan berkhidmat di pelbagai institusi,” kata Encik Kadir.

PENERIMA ANUGERAH JASA CEMERLANG

Penerima Anugerah Jasa Cemerlang, Dr Abdul Razak Chanbasha sudah berkhidmat kepada masyarakat selama 40 tahun menerusi pelbagai badan masyarakat dan pemerintah.

Beliau juga pernah menerima Pingat Bakti Masyarakat.

Dr Abdul Razak Chanbasha menyertai Majlis MUIS sebagai anggota pada 2007 hingga 2019 dan antara sumbangan besarnya kepada masyarakat Melayu/Islam adalah menerusi Warees Investment.

--

Menurutnya, beliau memanfaatkan pengalamannya di MUIS bagi melaksanakan kerja-kerja pemerolehan bagi projek-projek di bawah Skim Peningkatan Wakaf (WRS).

Misalnya, apabila projek Wakaf Bencoolen selesai kelak, Masjid Bencoolen akan memiliki ruang solat yang diubah elok, pelbagai ciri kemudahan dan sebuah kompleks komersil empat tingkat.

Dr Abdul Razak berkata: “Semasa saya di MUIS sebagai ahli majlis tertinggi, saya berpeluang memahami cara MUIS menguruskan kehidupan keagamaan masyarakat Islam di Singapura. Saya rasa peluang di MUIS itu dapat membantu saya di Warees di mana Warees adalah anak syarikat MUIS dan dikhususkan untuk membangun masjid dan juga menguruskan hartanah wakaf. Jadi dengan kefahaman yang saya dapat di MUIS itu, saya dapat membimbing karyawan-karyawan di Warees.”

Di Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (RIMA) AMP Singapura pula, beliau sudah memimpin beberapa projek kajian mengenai isu-isu sosioekonomi berkaitan dengan usaha meningkatkan taraf pendidikan para pelajar Melayu/Islam.

Beliau berkongsi bahawa minat untuk menyumbang kepada masyarakat ini dipupuk bersama rakan-rakannya semasa di universiti.

Oleh kerana rakan-rakannya juga tidak jemu berbakti kepada masyarakat, beliau turut terdorong berbuat sedemikian.

Berbekalkan kelebihan-kelebihan yang beliau miliki, beliau berharap untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

PENERIMA ANUGERAH JASA BAKTI

Antara lapan penerima Anugerah Jasa Bakti tahun ini ialah Cik Siti Habibah Siraj.

Anugerah Jasa Bakti diberikan kepada individu atas khidmat dan sumbangan mereka yang boleh dicontohi dalam bidang-bidang seperti pendidikan, kebajikan dan khidmat masyarakat.

Sumbangan Cik Siti Habibah termasuk dalam sektor kebajikan masyarakat, budaya serta warisan yang sudah menjangkaui lebih 20 tahun.

--

Beliau juga menyumbang kepakarannya dalam bidang seni bina, dengan memastikan kemudahan itu sesuai bagi para penghuni.

Malah, di bawah kepimpinannya, khidmat prasekolah dan jagaan kanak-kanak yang ditawarkan 7oaks Pte Ltd, sebuah anak syarikat PPIS, menerima pentauliahan SPARK.

“Pada saya pendidikan awal amat penting untuk perkembangan dan pertumbuhan setiap kanak-kanak. Adalah penting juga untuk mereka dapat asas yang kukuh pada awal tahun mereka membesar. Itulah harapan saya bagi setiap kanak-kanak terutamanya daripada kalangan masyarakat kita,” ujar Cik Habibah kepada BERITAmediacorp.

Ditanya apakah nasihatnya kepada golongan muda yang ingin berjinak-jinak dalam kerja kebajikan, ini katanya:

“Jangan takut untuk memberi sumbangan kepada masyarakat kita kerana mereka memerlukan kerjasama dan bakat kita untuk membangunkan masyarakat.”

Para penerima Anugerah Jasa Bakti lain terdiri daripada Encik Alwi Abdul Hafiz, Encik Kothari Shah Ibrahim, Encik Supki Sidek, Encik Fadlon Osman, Dr Subari Sukaini, Cik Norlizah Yusof dan Encik Mohamed Ilyas.