Edar cenderahati istimewa buat masyarakat

Home > News & Media > Edar cenderahati istimewa buat masyarakat

Edar cenderahati istimewa buat masyarakat

This article was originally published by Berita Harian on 24 December, 2022.

PERSATUAN Pemudi Islam Singapura (PPIS) akan menutup sambutan Tahun Jubli Platinum sempena ulang tahunnya yang ke-70 dengan menyumbang kembali kepada masyarakat pada majlis Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) yang diadakan di Yayasan Mendaki hari ini.

Dana pendidikan untuk peringkat pengajian tinggi seperti politeknik dan universiti itu ditadbir oleh Yayasan Mendaki dan diperkenalkan pada 2005 sebagai bantuan kewangan kepada pelajar Melayu/Islam yang memerlukan.

Kira-kira 67 pelajar menerima bantuan kewangan berjumlah $20,000. Mereka merupakan anak kepada pesalah dadah, bekas pesalah dadah atau kaunselor.

Sebanyak 100 kit aktiviti keluarga juga diedar kepada benefisiari pada majlis itu.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, hadir sebagai tetamu terhormat.

Ketua Pegawai Eksekutif PPIS, Cik Tuminah Sapawi, berkata:

“Ini adalah cenderahati istimewa PPIS untuk masyarakat sempena Tahun Meraikan Keluarga (YCF).

“Ia istimewa kerana ia dihasilkan dengan kerjasama pusat-pusat khidmat sosial kami, serta maklum balas daripada jabatan sekolah kerana mereka mungkin lebih pakar dalam menentukan apa yang diperlukan oleh keluarga untuk menjalin ikatan sesama anggota.

“Semangat Satu PPIS sangat teguh di kalangan kakitangan kami dan inilah cara kami bekerjasama untuk masyarakat.”

Sempena menyambut Tahun Jubili Platinumnya, PPIS turut melancarkan Projek Seni Masyarakat pada bulan Jun lalu, di mana penduduk Geylang dan benefisiari mereka bentuk roda pin yang menggambarkan erti ketahanan bagi mereka.

Roda-roda pin tersebut dipamerkan di Wisma Geylang Serai, melambangkan masyarakat berdiri bersama sebagai satu, walaupun menghadapi cabaran yang mendatang.

Awal bulan ini, PPIS juga melancarkan sebuah biasiswa bagi wanita untuk terus menyokong mereka untuk mencapai aspirasi mereka.

Inisiatif itu adalah hasil kerjasama dengan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).