Home > News & Media > Anugerah Buku Kerja Sosial PPIS-SUSS iktiraf dedikasi, kecemerlangan graduan jurusan kerja sosial
Anugerah Buku Kerja Sosial PPIS-SUSS iktiraf dedikasi, kecemerlangan graduan jurusan kerja sosial
Last Update on October 14, 2024
This was originally published by BERITA Mediacorp on 13 October 2024
Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) bekerjasama dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) bagi menawarkan sumbangan untuk Anugerah Buku Kerja Sosial 2024.
Ia bertujuan untuk mengiktiraf para graduan cemerlang dalam khidmat sosial.
Setiap tahun, PPIS akan memberikan dua graduan S$1,000 seorang. Ini akan ditawarkan sepanjang lima tahun, bermula tahun ini.
Mereka akan dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan bagi modul-modul utama jurusan itu.
Menurut Presiden PPIS, Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, inisiatif itu akan menjadi sebagai pemangkin semangat kepada para individu tersebut untuk terus menyumbang bagi kebajikan masyarakat.
“Di PPIS, kami amat menghargai peranan penting kami dalam sektor kerja sosial dalam meningkatkan taraf kehidupan dan memperkukuh masyarakat. Anugerah ini membolehkan kami memberi sokongan kepada individu-individu yang akan terus berjuang untuk mengubah kehidupan dan membina keluarga serta masyarakat yang lebih tabah.
“Ini adalah peluang untuk mengiktiraf dedikasi dan ketabahan para pelajar kerja sosial, serta memperkasa mereka yang akan terus berjuang untuk membentuk masa depan yang
lebih cerah dan penuh belas kasihan untuk masyarakat kita,” kata Dr Razwana.
Ia juga kata beliau, sejajar dengan matlamat jangka panjang PPIS dalam menyokong
khidmat sosial di Singapura.
“Kami melabur dalam generasi pekerja sosial yang akan datang, dengan impian yang mereka akan terus menyumbang kembali kepada masyarakat. Ini seiras dengan visi kami untuk membina masyarakat wanita yang berjaya dan juga keluarga yang sejahtera.
“Pekerja sosial yang terlatih memainkan peranan penting dalam menangani cabaran masyarakat, terutama sekali yang dihadapi oleh wanita dan keluarga di Singapura,” kongsi Cik Razwana.
Dalam pada itu, beliau berharap kerjasama dengan SUSS itu dapat meningkatkan pemahaman di kalangan para pelajar tentang usaha-usaha penting yang diterajui PPIS.
“Kami berharap ini akan mendorong pelajar untuk mendalami pemahaman mereka mengenai isu sosial yang kritikal dan peranan mereka dalam mengatasinya.
“Kami juga berharap inisiatif ini dapat mewujudkan hubungan yang lebih kuat antara pelajar kerja sosial dan PPIS, lantas memberi inspirasi kepada mereka untuk menyumbang kepada kesejahteraan wanita, keluarga dan masyarakat di Singapura,” kata Cik Razwana.
Bagi terus menyokong dan menyemai bakat muda, PPIS merancang untuk meneroka peluang untuk terus bekerjasama dengan institusi pendidikan dan badan profesional untuk mengadakan peluang bagi latihan praktikal, bimbingan dan latihan amali.
PENERIMA ANUGERAH BUKU KHIDMAT SOSIAL 2024
Dua penerima pertama anugerah buku itu ialah Cik Danielle Muk Onn dan Encik Ong Yun Liang.
Cik Onn bagi modul SWK354 -‘Keluarga dan Isu’ dan Encik Ong pula untuk modul SWK382 – ‘Kemiskinan dan Ketidakadilan Sosial’.Bagi Cik Onn, minatnya terhadap bidang berkenaan berputik daripada pengalaman hidupnya sendiri.
Sejak ibu bapanya kehilangan pekerjaan dan menerima bantuan daripada pekerja sosial, Cik Onn menanam harapan untuk membantu orang lain dan menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Saya lihat diri saya sebagai pekerja sosial yang akan memperkasa individu lain. Saya percaya peranan saya adalah untuk membolehkan mereka membuat perubahan dalam situasi mereka sendiri.
“Saya juga lihat diri saya sebagai suara kepada mereka yang tidak dapat bersuara seperti kanak-kanak dan kanak-kanak berkeperluan khas. Saya juga ingin melindungi mereka yang kurang bernasib baik dan membela mereka yang mungkin didera atau dilayan secara tidak adil oleh orang di sekeliling mereka,” kata Cik Onn.
Tambah beliau, dengan pelbagai teori yang dipelajari di SUSS, beliau dapat memahami dengan lebih mendalam tentang isu-isu dalam keluarga kerana keperluan setiap keluarga unik.
Bagi seorang lagi penerima iaitu Encik Ong, beliau percaya bahawa walaupun kemiskinan adalah punca asas kepada banyak isu sosial, ada pelbagai sebab yang mendalam di sebalik cabaran-cabaran ini.
“Aktiviti harian kami sama ada membeli makanan atau menggunakan pengangkutan awam adalah berbeza merentas pelbagai demografik. Perbezaan ini bersilang dengan konstruk sosial lain dan mewujudkan kitaran ketidaksamaan yang dirasakan tidak dapat dielakkan. Jadi pekerja sosial perlu bekerjasama sama ada di peringkat mikro atau makro,” kata Encik Ong.
Encik Ong yang kini bertugas sebagai pekerja sosial di Pusat Perkhidmatan Keluarga (FSC) berharap dapat membantu keluarga dengan sumber yang tersedia dan mengenal pasti cabaran yang mereka hadapi bagi menangani isu ketidaksamaan sosial yang lebih luas.