16 May Ruang Wanita PPIS akan lancar Khidmat Perundingan Guaman percuma
This article was originally published by BERITA Mediacorp on 14 May, 2023.
SINGAPURA: Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) akan melancarkan Khidmat Perundingan Guaman sebagai sebahagian daripada inisiatif Ruang Wanita badan itu yang baru.
Khidmat itu akan meningkatkan akses kepada sokongan guaman bagi wanita menerusi bantuan guaman dan rujukan secara percuma.
Presiden Halimah Yacob menyambut baik perkembangan itu dalam majlis Hari Raya PPIS bertemakan ‘Peran Contoh Terbesar Wanita’.
Beliau menekankan, peran contoh dan mentor wanita boleh membawa kesan meluas dalam masyarakat bila ia mempengaruhi golongan wanita muda secara positif.
Ini dapat dilakukan dengan kaum lelaki dan wanita berganding bahu sebagai individu yang setaraf.
Acara perhimpunan Hari Raya PPIS itu dihadiri 100 wakil wanita daripada berbilang agama pada Sabtu (14 Mei).
PENTINGNYA UBAH DAYA PEMIKIRAN MASYARAKAT
Puan Halimah berkata, kerjasama seluruh masyarakat amat penting bagi mengubah daya pemikiran bagi masyarakat yang lebih saksama dan inklusif.
“Ini bermula daripada keluarga – iaitu asas masyarakat kita, dan di mana kerjasama sama ini dipupuk dan digalak. Dan di tempat kerja, kita mesti terus memupuk budaya tempat kerja yang mengiktiraf dan menggalak para wanita yang memiliki potensi kepimpinan untuk terus mempertingkatkan pembangunan kaum wanita,” kata Presiden Halimah dalam ucapannya.
Acara dari wanita untuk wanita dipanggil “PPIS Harmoni Raya 2023” itu juga bermakna kerana ia dianjurkan sempena Hari Ibu.
Selain bertujuan memupuk perpaduan sosial dan keharmonian antara kaum ia juga menyediakan wadah bagi kaum wanita pelbagai bangsa dan agama untuk memupuk ikatan yang lebih erat.
“Dalam pada itu kami juga ingin mendengar, meraih iktibar daripada kisah-kisah cemerlang dari wanita-wanita dari masyarakat lain supaya sama-sama dapat meraih inspirasi antara satu sama lain.
“Yang paling penting Harmony Raya tahun ini ialah supaya lebih ramai wanita sama ada mencari, mahupun menjadi peran contoh, supaya secara bersama kita dapat bangkitkan aspirasi wanita, bangkitkan keinginan wanita untuk menggapai kecemerlangan,” ujar Presiden PPIS Hazlina Halim kepada BERITAmediacorp.
Antara isu-isu yang dibincangkan dalam segmen forum adalah bagaimana kaum wanita hari ini menentukan sesuatu kejayaan, cabaran-cabaran yang dihadapi dan sokongan yang diperlukan bagi mengecapi aspirasi keluarga mahupun kerjaya masing-masing.
Barisan panel forum terdiri daripada Michelle Voo, anggota Majlis Katolik Archdiocesan bagi Dialog Antara Agama (ACCIRD), Ustazah Nadia Hanim, anggota Majlis Tertinggi PERGAS dan Dr Uma Jayaraman, Pensyarah Universiti Nasional Singapura (NUS).
Sumber : BERITA Mediacorp/na