04 Sep PPIS rai Bulan Bahasa 2024 dengan konsert; Duta dan Rakan Bahasa Cilik turut dilantik
Empat murid telah terpilih sebagai ‘Duta Bahasa Cilik’ dan ‘Rakan Bahasa Cilik’ dalam acara kemuncak sebuah konsert anjuran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) menerusi anak syarikatnya, Pusat Jagaan Pelajar 7oaks.
Acara Konsert Rentak Cilik sempena meraikan Bulan Bahasa 2024 itu telah berlangsung dengan penuh semangat di Project Studio, Wisma Geylang Serai, pada 3 September.
Pelajar yang terpilih terdiri daripada Nufah Imani Amat Halim dan Putra Al Hassan Edyputra sebagai Duta Bahasa Cilik dan Mohammad Izz Harith Mohamad Ismail serta Nurin Fatihah Rushdi sebagai Rakan Bahasa Cilik.
Dengan pelantikan itu, mereka diharap dapat memberi inspirasi kepada rakan sebaya dan menyemarakkan semula cinta mereka terhadap Bahasa Melayu, menurut PPIS. Mereka juga akan diberi peluang untuk mengasah pengetahuan dan keupayaan Bahasa Melayu dengan menghadiri bengkel dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).
Konsert yang dihadiri oleh kira-kira 150 peserta termasuk murid-murid, ibu bapa, kakitangan dan tetamu lain itu telah dirasmikan oleh Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, Anggota Parlimen (Chua Chu Kang GRC) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa.
Ia menampilkan bakat-bakat muda dari PPIS 7oaks Student Care Centres dengan persembahan seni kompang, pencak silat, tarian, dan dikir barat. Persembahan menunjukkan kemahiran dan dedikasi para pelajar yang telah berlatih sejak Julai, menurut PPIS.
Tahun ini, acara tersebut menjadi lebih istimewa dengan sumbangan daripada sukarelawan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek konsert. PPIS 7oaks berbangga bekerjasama dengan ibu bapa dalam menyerlahkan bakat terbaik dalam diri anak-anak mereka, tambah persatuan tersebut menerusi kenyataannya.
Acara ini mencapai kemuncaknya dengan pelantikan Duta Bahasa Cilik dan Rakan Bahasa Cilik 2024-2025. Sepanjang tahun, mereka akan terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti untuk memperkukuh penghargaan terhadap bahasa dan budaya Melayu.
Dalam ucapannya, Encik Zhulkarnain berkata: “Saya yakin bahawa jika kita berganding bahu untuk menegakkan semangat masyarakat dan nilai-nilai positif, kita akan terus membentuk generasi muda kita menjadi pewaris yang unggul, pengguna setia dan pemangkin bagi ‘Cita, Citra, Cinta’ terhadap bahasa dan budaya Melayu.”
Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim, pula berkata persekitaran pembelajaran yang kukuh di rumah demi memelihara bahasa dan budaya Melayu sebagai sebahagian daripada identiti adalah penting untuk melengkapi usaha di sekolah dan pusat jagaan pelajar.
“Pendedahan yang konsisten dan awal akan menanamkan kecintaan terhadap budaya ketika anak membesar. Di kedua-dua Pusat Jagaan Pelajar 7oaks kami yang sekular, kami memberi tumpuan khusus kepada bahasa dan budaya Melayu untuk mengasah dan mendalami minat serta kecintaan pelajar terhadap warisan budaya Singapura yang kaya.
“Dengan pemahaman yang lebih mendalam terhadap budaya sesama kita, kami berharap usaha kami akan terus mempereratkan ikatan antara semua pelajar kami,” tambah beliau.
Bulan Bahasa 2024 berlangsung dari 17 Ogos hingga 13 Oktober 2024.