Jejaki perjalanan 7 dekad wanita berdaya tahan

Jejaki perjalanan 7 dekad wanita berdaya tahan

This article was originally published by Berita Harian on 04 December, 2022.

JIKA anda berusia 70 tahun, bayangkan jadual harian anda. Adakah menghulurkan bantuan dan menyumbang bakti menjadi sebahagian daripada rutin?

Bagi salah seorang pengasas PPIS, Cik Khatijun Nissa Siraj, yang kini berusia 97 tahun, masih mulakan setiap hari beliau dengan membaca surat khabar Singapura. Beliau merupakan salah seorang daripada 22 wanita yang berganding bahu untuk memperjuang peningkatan wanita, tujuh dekad yang lalu.

2022 merupakan tahun istimewa buat Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), sedang kami meraikan 70 tahun berkhidmat untuk wanita Islam serta anak-anak dan keluarga Singapura. Sepanjang perjalanan ini, kami yakin PPIS memberi kesan yang mendalam pada mereka, melalui rangkaian program dan perkhidmatan yang kami tawarkan.

PPIS juga akur peri pentingnya memerhatikan trend dan perkembangan setempat bagi memastikan khidmat yang disediakan sesuai dan relevan.

 

ORAK LANGKAH PERJUANGKAN KEPENTINGAN WANITA

Apabila PPIS ditubuhkan pada awal 1950-an, keadaan wanita Islam tempatan ketika itu amat berbeza. Ramai berkahwin awal, kira-kira 16 tahun sehingga 19 tahun, dan kadar kesuburan jauh lebih tinggi. Namun, kadar perceraian juga amat tinggi – disebabkan betapa mudahnya melafazkan talak pada masa itu.

Khidmat kaunseling pula terhad dan menurut perlembagaan ketika itu, suami hanya perlu membayar tanggungan sebanyak $30 selama tiga bulan meskipun pasangan mempunyai anak. Yang menjadi mangsa semua ini ialah anak-anak yang terjejas ekoran daripada perceraian. Kaum ibu pula terpaksa membela anak-anak tanpa sebarang mata pencarian. Tambahan pula, wanita ketika itu mempunyai hak terhad dan tiada perlindungan.

Gejala sosial yang semakin membelenggu ini mendorong 22 wanita daripada pelbagai latar belakang membentuk PPIS pada 1952. Mereka tekad untuk mempertingkat mutu kehidupan kaum wanita. Reaksi terhadap pembentukan PPIS pastinya berbeza.

Malah, segolongan wanita ketika itu takut untuk menganggotai PPIS kerana diugut oleh suami dengan perceraian. Namun, ada juga yang cekal untuk berkhidmat meskipun mengambil risiko dibuang dari rumah.

Hasil kecekalan perintis PPIS untuk menubuhkan undang-undang yang melindungi wanita Islam menjadi realiti dengan pembentukan Mahkamah Syariah pada 1958.

Ternyata, perintis PPIS komited untuk menyokong dan membangkitkan semangat wanita.

 

SOKONGAN WANITA PERTAMA, PUAN NOOR AISHAH

Pada 1967, Puan Noor Aishah merasmikan pembukaan pusat pertama PPIS di 15 Haigsville Drive.

Wanita Pertama Singapura ini menjadi penaungnya dan membantu mendapatkan tanah untuk ibu pejabat PPIS Pusat wanita pertama di Singapura ini menjadi penaungnya dan membantu mendapatkan tanah untuk ibu pejabat PPIS menerusi warkah yang dikirimkan kepada pemerintah. Daripada sebuah rumah pusat di Haigsville, PPIS kini mempunyai 17 pusat di serata Singapura.

Salah satu aspek penting dalam usaha menyokong wanita ialah mendukung usaha penjagaan kanak-kanak yang lazim menjadi peranan utama seorang wanita. Justeru, PPIS membuka pusat tadika pertama kami pada 1983 – Taman Asuhan PPIS. Matlamat kami yang masih kekal relevan hingga hari ini ialah menawarkan pendidikan pra-sekolah bermutu tinggi pada harga berpatutan.

Tidak lama kemudian, PPIS melancarkan Khidmat Keluarga Ibu Bapa Tunggal pada 1988, yang kini dikenali sebagai Pusat Perkhidmatan Keluarga As-Salaam. As-Salaam menawarkan kaunseling untuk membantu keluarga mengharungi cabaran-cabaran kesan perceraian.

Ekoran itu, PPIS tekad mendampingi wanita supaya wanita tidak bersendirian ketika meniti fasa baru kehidupan.

 

KENDALI PUSAT KHIDMAT KELUARGA

Menjelang 1992, PPIS PPIS berganding bahu dengan Mendaki untuk mengendalikan Pusat Khidmat Keluarga (FSC) yang pertama oleh Pertubuhan Melayu/Islam. FSC menyediakan khidmat kepada individu dan keluarga yang memerlukan sokongan sosial dan emosi termasuk bantuan kewangan, perumahan, dan pekerjaan. Tidak lama kemudian, PPIS mengambil alih pengurusan FSC, yang dinamakan PPIS FSC West selepas pembukaan PPIS FSC East pada 2010.

Perkahwinan dalam kalangan anak muda atau bawah 21 tahun adalah satu lagi aspek unik masyarakat Melayu/Islam. Namun, sokongan untuk memperkukuhkan mahligai yang dibina untuk golongan ini agak terhad. Justeru, INSPIRASI PPIS dilancarkan pada 2007 untuk membantu pasangan-pasangan muda menerajui alam perkahwinan.

Ekoran pengalaman yang ditimba, PPIS diiktiraf oleh Majlis Perkhidmatan Sosial Negara (NCSS) sebagai Pusat Kecemerlangan yang mengelolakan khidmat Latihan dan Perundingan untuk badan-badan lain demi mempertingkat mutu perkhidmatan sosial.

Sebahagian usaha berterusan kami memastikan PPIS kekal relevan, PPIS Vista Sakinah ditubuhkan pada 2010, dengan fokus mengukuhkan perkahwinan semula serta keluarga tiri.

 

TUMPUAN PADA KELUARGA

Lima tahun kemudian, Institut Terapi Keluarga PPIS (kini dikenali sebagai Akademi Sym); perkhidmatan unik yang meliputi terapi sekeluarga, serta program latihan untuk profesional yang bekerja dengan keluarga, telah ditubuhkan. Dengan bimbingan pakar yang berpengalaman bekerja dengan masyarakat Melayu/Islam, kami yakin isu dan konflik domestik dapat ditangani dan dibendung.

Tahun 2017 pula menyaksikan dua titik sejarah yang amat kami banggakan. Jabatan Penyelidikan dan Penglibatan PPIS (RED) ditubuhkan untuk mendekati dan mengenali wanita. Aspirasi RED juga ialah untuk mewakili wanita, memajukan aspirasi, mengukuhkan kesejahteraan dan meningkatkan martabat wanita Islam di Singapura.

Pada tahun yang sama, PPIS melancarkan agensi titipan nasional ketiga di Singapura – PPIS Oasis. Pusat ini memudahkan perjalanan titipan dengan menyokong keluarga titipan membantu menjaga kanak-kanak yang memerlukan, supaya mereka boleh merealisasikan potensi dan aspirasi mereka.

 

RANGKAIAN PERKHIDMATAN PENUH SOKONG WANITA, KELUARGA MEREKA

Menjelang 2019, PPIS kini mempunyai rangkaian perkhidmatan penuh untuk menyokong wanita Islam masa kini serta keluarga mereka – dua pusat khidmat keluarga, institut terapi keluarga (Akademi Sym), pusat khusus untuk perkahwinan semula dan keluarga tiri (PPIS Vista Sakinah), hab untuk menyediakan dan mengukuhkan perkahwinan muda (INSPIRASI PPIS) dan pusat titipan (PPIS Oasis).

Dan pada tahun ini, pusat terkini kami, rumah peralihan Rise Above mula beroperasi dan merupakan rumah peralihan sekular wanita pertama di Singapura. Rangkaian perkhidmatan holistik PPIS, serta hubungan kukuh kami dengan pelbagai pihak, melancarkan penubuhan rumah peralihan. Kami yakin usaha ini adalah daya usaha yang penting, yang mewujudkan lebih banyak ruang selamat untuk semua kumpulan wanita, dan melanjutkan perkhidmatan kami bagi memenuhi keperluan wanita dan keluarga mereka.

Sepanjang 70 tahun, PPIS cekal dan teguh, dalam usaha kami memastikan khidmat tawaran kami kekal relevan dengan keperluan wanita Islam masa kini. Kami menanam iltizam untuk mendampingi wanita dalam fasa-fasa kehidupannya. Kami komited akan terus membangunkan dan mempertingkat perkhidmatan kami supaya dapat terus menyokong keperluan wanita, keluarga, kanak-kanak dan masyarakat dengan lebih sempura.

Tanggungjawab generasi ini adalah amanah yang diturunkan daripada perintis kami, yang tidak lelah membanting tulang, dan berdaya tahan untuk masa depan.

Wanita adalah tunggak keluarga dan tunggak masyarakat, dan PPIS akan terus menggembleng tenaga dan bekerjasama dengan rakan-rakan seperjuangan untuk membentuk ekosistem yang menyokong dan membina untuk wanita pada masa depan.

Cita-cita kami, mahu terus mendampingi wanita dan memupuk generasi yang berwibawa yang akan terus maju jaya. Sertai kami, merealisasikan visi kami untuk membina masyarakat wanita berjaya!