05 Jul Kaum Hawa, Adam saling lengkapi papar contoh positif
This article was originally published by Berita Harian on 3 July, 2022.
SERINGKALI, kedengaran kanak-kanak dan belia ditanya – sudah besar nak jadi apa?
Jawapan kepada soalan ini lazimnya dikaitkan dengan cita-cita, terutama sekali, kerjaya.
Pernahkah terlintas di fikiran anda, apakah yang mungkin berlaku seandainya ditanya – sudah besar nak jadi macam siapa?
Bayangkan jawapan kepada soalan tersebut, nama-nama siapakah yang kini terbit di minda anda?
Sudah tentu cita-cita itu peribadi, unik dan tersendiri.
Dalam pada itu, salah satu dapatan yang Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) amati dari tinjauan Aspirasi Wanita Islam Singapura yang telah kami kongsikan awal tahun ini ialah, betapa pentingnya peran contoh, suri teladan, dan juga sokongan rakan sebaya untuk membantu wanita Islam mencapai potensi penuh dan menggapai aspirasi tertinggi mereka.
Lantaran itu, sebahagian usaha mengurangkan lagi jurang perbezaan dari segi modal sosial yang lebih luas dalam masyarakat kita, langkah selanjutnya yang boleh diambil bersama ialah untuk mengiktiraf dan meraikan pelbagai pencapaian wanita Islam, tidak kira besar atau kecil, untuk menyebarkan naratif lapisan masyarakat yang berjaya. Semuanya untuk tujuan yang lebih besar – menjana generasi pelapis wanita Islam yang berdaya tahan dan mantap supaya kelak boleh menjadi dasar untuk membina keluarga yang lebih kukuh dan masyarakat yang inklusif.
MELENTUR BULUH, BIAR DARI REBUNGNYA
Salah satu cara ialah dengan mengendalikan program-program pendekatan di peringkat lebih awal.
Penting untuk kita semua menggembleng tenaga dan berkhidmat buat generasi masa depan yang penuh dengan potensi dan bakat yang belum diterokai.
Justeru kita harus sentiasa mencari dan membentuk peluang untuk memupuk potensi belia dan membantu belia menghakis atau menguasai rasa gentar supaya terdorong untuk menjana impian yang akan mempertingkatkan mutu kehidupan mereka.
Baru-baru ini PPIS bekerjasama dengan Pusat Wanita dan Kanak-Kanak Pertapis dalam usaha untuk membangkitkan inspirasi kanak-kanak dan belia wanita yang menetap di sana, serta membangkitkan semangat mereka menerusi inisiatif #REDGirlsForGood; satu siri sesi penglibatan dan pendekatan yang melibatkan kerjasama syarikat swasta seperti All Things Delicious, Letteritsueet, Her Tribe, Pearlista, The Looms Workshop dan NTU-NIE Dewi Samudera serta peran contoh wanita Islam tempatan Singapura seperti Fiza O, Nona Kirana, Nura J dan Nabillah Jalal dan juga individu-individu seperti Raihan Ruslan, Hermizan Jumari, Zaidah Mhd Jamin dan Rossheema Haniff.
Sejak 2020, inisiatif yang diterajui Jabatan Penyelidikan dan Penglibatan PPIS (RED), bertujuan untuk meningkatkan mutu kehidupan kanak-kanak dan wanita muda melalui interaksi yang menggalakkan dan aktiviti rekreasi, sambil menawarkan ruang yang selamat untuk mereka memupuk impian, berkongsi dan meluahkan isi hati.
PERAN CONTOH BANGKIT SEMANGAT
Sesungguhnya, kesan yang ditinggalkan oleh kakak-kakak yang menjadi peran contoh atau suri teladan amat menggalakkan, memberi motivasi kepada penghuni daripada peringkat awal lagi.
PPIS beriltizam untuk menyediakan akses dan memupuk peluang supaya belia-belia ini berkeyakinan untuk mencapai cita-cita mereka, sama seperti rakan sebaya mereka daripada keluarga yang stabil umpamanya.
Akses adalah penting kerana ia memberi ruang untuk menggilap potensi.
Ia juga akan mendatangkan keyakinan bahawa seseorang itu boleh dan harus berusaha untuk melakar masa depan yang lebih baik dari kehidupan sekarang.
Setiap orang ada impian – namun bukan semua berjaya mengenalpasti dan mengakui apakah impian yang tersemat di dalam lubuk hati.
Ramai juga mempunyai potensi yang mungkin belum lagi dicungkil, terutama sekali jika terjerat di dalam sekitaran yang kurang ‘conducive’ atau membina.
Cabaran kehidupan norma baru buat masyarakat moden hari ini semakin sukar diharungi semua lapisan masyarakat, apatah lagi belia – terutama sekali, gadis muda.
Yang penting, ingatkan golongan belia bahawa mereka tidak harus bersendirian, ada yang ingin membantu dan menyokong supaya dapat bangkit bersama.
Ramai yang yakin mereka boleh menjadi versi terbaik diri sendiri dan mendaki lebih tinggi, buat diri sendiri, dan juga buat Singapura.
Beri mereka keyakinan untuk merancang jalan keluar dari kancah atau lingkaran yang tidak elok, dampingi mereka supaya mereka tidak terus rasa terjerat.
‘MALE ALLIES’ JUGA PERAN CONTOH PENTING
Sama seperti kita mendapat inspirasi daripada penjejak sejarah dan wanita semasa, kita sendiri juga mesti terus menjadi peran contoh yang positif supaya wanita masa depan boleh mencapai lebih banyak, bermimpi lebih besar dan melonjak lebih tinggi.
Ia juga sama pentingnya bagi sekutu lelaki untuk ikut serta usaha membentuk sistem sokongan holistik untuk generasi wanita muda diluaskan supaya menjadi lebih kukuh.
Tahun 2022 juga telah disytiharkan sebagai tahun meraikan keluarga. Namun kadangkala, ada yang terpaksa menjalani kehidupan jauh dari keluarga dan jenuh mencari dan membina sistem sokongan alternatif.
Jangan biarkan mereka bersendirian.
Kita adalah tanggungjawab kita bersama.
Kita harus jaga kita.
- Penulis Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).
“Lantaran itu, sebahagian usaha mengurangkan lagi jurang perbezaan dari segi modal sosial yang lebih luas dalam masyarakat kita, langkah selanjutnya yang boleh diambil bersama ialah untuk mengiktiraf dan meraikan pelbagai pencapaian wanita Islam, tidak kira besar atau kecil, untuk menyebarkan naratif lapisan masyarakat yang berjaya.”
– Penulis.