PPIS lancar ‘Pasport Kesihatan’ untuk bantu penghuni pantau kesihatan sempena ulang tahun pertama rumah peralihan Rise Above

Home > News & Media > PPIS lancar ‘Pasport Kesihatan’ untuk bantu penghuni pantau kesihatan sempena ulang tahun pertama rumah peralihan Rise Above

PPIS lancar ‘Pasport Kesihatan’ untuk bantu penghuni pantau kesihatan sempena ulang tahun pertama rumah peralihan Rise Above

Last Update on January 16, 2025

 

 

This was originally published by BERITA Mediacorp on 8 December 2024.

Rumah Peralihan Rise Above dan RED Space kendalian Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) meraikan ulang tahun pertamanya dengan menganjurkan Hari Kesejahteraan Wanita pada Sabtu (7 Dis).

Ia dihadiri sekitar 60 peserta termasuk para pelajar daripada Institut Pengajian Tinggi (IHL), wanita bekerja, ibu, para penghuni Rumah Peralihan Rise Above dan keluarga mereka.

Presiden PPIS, Profesor Madya Razwana Begum berpendapat bahawa acara itu adalah sebuah cerminan kuat akan kuat kesungguhan PPIS untuk memperkasa wanita di setiap peringkat kehidupan mereka.

“Dengan menyambut kejayaan ini, kami memberi penghormatan kepada kekuatan dan daya tahan wanita dalam masyarakat kami. Kerjasama kami membuktikan bahawa inisiatif yang didorong masyarakat dalam menyokong wanita dan membantu mereka berkembang maju meninggalkan kesan yang luar biasa.

“Sama-sama, kami membina asas bagi masa hadapan di mana semua wanita mempunyai sokongan dan sumber yang diperlukan untuk berkembang maju,” tambah beliau.

Ia menampilkan sesi-sesi ceramah berhubung kesihatan mental bagi membantu kaum hawa mengatasi tekanan serta cabaran peralihan dalam kehidupan.

Pakar-pakar yang dijemput untuk berkongsi pendapat dan pengamatan mereka adalah Kaunselor PPIS, Najmunnisa Mohamed Barokh dan Jurupulih Kanan Pekerjaan daripada SATA Commhealth, Magcale Tengco Juan Carlo.

Selain itu, terdapat juga reruai-reruai yang menawarkan pemeriksaan kesihatan mental, aktiviti-aktiviti khas untuk menenangkan diri dan saluran kreatif untuk meningkatkan kesedaran mental dan bermuhasabah diri.

Usaha sama antara PPIS, RED Space dan Rise Above, dengan rakan kongsi SATA CommHealth itu bertujuan untuk mengukuhkan lagi impak sosial dan menyuntik inspirasi kepada masyarakat untuk melakukan perubahan.

Ia menawarkan wanita dengan sumber dan kemahiran yang diperlukan untuk menyusuri cabaran dalam hidup dengan yakin dan berdaya tahan.

‘PASPORT KESIHATAN’ DIPERKENALKAN, BANTU PENGHUNI PANTAU PERJALANAN KESIHATAN MEREKA

Bagi meraikan tahun pertama penubuhan rumah peralihan itu, Rise Above akan memperkenalkan ‘Pasport Kesihatan’ buat para penghuni mereka mulai tahun depan.

Ia adalah sebuah wadah inovatif yang dibangunkan dengan kerjasama pakar dalam bidang perbidanan dan sakit puan yang berpengalaman, Dr Julianah Abu.

Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Penasihat Rise Above menjelaskan bahawa ‘Pasport Kesihatan’ itu direka untuk membantu para penghuni memantau perjalanan kesihatan mereka.

PPIS BERI PENEKANAN KEPADA KESIHATAN & KESEJAHTERAAN WANITA

Pelbagai pencapaian telah dicatatkan Rise Above dan RED Space dalam masa setahun ia dilancarkan.

Dalam usaha pemulihan para penghuninya, rumah peralihan Rise Above memberi penekanan kepada kesihatan dan kesejahteraan wanita sejak dilancarkan pada Julai tahun lepas.

Ini dengan menawarkan pelbagai program seperti pendidikan psikologi, aktiviti kesihatan fizikal, pemeriksaan kesihatan dan bengkel kesihatan mental.

Setakat ini, rumah peralihan itu sudah membantu 103 penghuni dengan 48 daripada mereka berjaya kembali ke pangkuan masyarakat.

Ia juga sudah mengendalikan lebih 30 acara dan program yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan wanita misalnya kesihatan mental, keadaan fizikal dan membina kemahiran.

 

RUANG SELAMAT – RED SPACE

Bagi RED Space pula yang dilancarkan Jabatan Penyelidikan dan Penglibatan (RED) PPIS pada Oktober tahun lepas, ia menyediakan ruang selamat bagi wanita.

Ia merupakan satu kemudahan sehenti yang menyediakan sokongan buat wanita dalam mencapai aspirasi dan membina rangkaian dengan wanita lain.

“Menghadiri acara-acara di RED Space telah melengkapkan saya dengan alat dan sumber untuk mengatasi pelbagai platform dengan yakin dan membina hubungan yang bermakna.

“Saya percaya bahawa pengetahuan ialah alat yang paling berharga untuk mengorak langkah seterusnya – yang kita perlukan hanyalah masa, tumpuan dan tindakan susulan,” kongsi Cik Rozana Karim, 53 tahun.

Selain itu, ia juga menyediakan sokongan bagi kerjaya wanita, kesejahteraan dan keperluan guaman serta sumber platform bagi mereka mendapat akses kepada maklumat, bantuan dan rujukan.

RED Space sudah mendampingi dan membantu lebih 500 wanita setakat ini.