Sertai usaha sokong wanita bangkit

Sertai usaha sokong wanita bangkit

This article was originally published by Berita Harian on 30 October, 2022.

SEJAK September lalu, Rumah Peralihan Rise Above yang dikendalikan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) telah menyambut penghuni pertama kami – 13 wanita yang akan menjalani program khas untuk mempertingkatkan kemahiran mereka supaya boleh berdikari serta berusaha memperbaiki hubungan dengan keluarga dan mempertingkatkan penglibatan semula dalam masyarakat.

Setiap wanita yang menjejakkan kaki ke Rise Above pasti mempunyai kisah tersendiri.

Antara lain, kesukaran dan cabaran kehidupan yang diharungi, harapan mereka serta keluarga mereka yang menerbitkan tekanan serta kesalahan masa lampau yang terus menghantui.

Namun, di sebalik kerumitan dan kecelaruan, PPIS yakin wanita-wanita ini juga mempunyai kebolehan, bakat dan kemahiran terpendam yang boleh digilap untuk menyinari masa depan mereka.

Dan kilauan ini boleh menyerlah dengan sokongan jitu keluarga serta masyarakat yang rela memberi peluang sekali lagi dengan mendampingi wanita-wanita ini.

Sejauh ini, PPIS menyasarkan kira-kira 30 penghuni akan menetap di rumah peralihan Rise Above menjelang akhir tahun kelak.

Antara ciri-ciri penting di Rise Above ada-lah sekitaran terapeutik yang dapat membantu perjalanan pemulihan wanita agar mereka dapat membentuk semula identiti mereka untuk menjadi versi lebih baik diri sendiri.

Proses penyesuaian terhadap persekitaran dalam dan luar penjara tentunya bukan sesuatu yang mudah.

Pendekatan bertahap-tahap penting supaya wanita-wanita boleh menyesuaikan diri untuk kembali menjalani kehidupan dalam kalangan masyarakat majmuk Singapura.

Jadi apakah matlamat kami untuk setiap penghuni Rise Above? Kita mulakan dengan nilai-nilai yang ingin kami terapkan.

‘Respect and Responsibility’ atau Hormat dan Bertanggungjawab
‘Independence and Integrity’ atau Berdikari dan Berwibawa
‘Sincerity and stewardship’ atau Keikhlasan dan Kepimipinan
‘Empowerment and Excellence’ atau Memperkasa dan Kecemerlangan
Visi kami ialah supaya ruang yang kami sediakan ini kondusif unutk penghuni membina semula kehidupan mereka dan menjalinkan semula pertalian dengan keluarga dan masyarakat.

Harapan kami ialah supaya setiap penghuni Rise Above benar-benar bangkit.

Untuk mencapai matlamat Rise Above, keperluan seharian setiap penghuni kami harus dipertimbangkan dengan teliti dan memerlukan pelaburan masa menerusi perbualan mendalam dan perbincangan terbuka – pokoknya dengan penuh perhatian.

Usaha ini memerlukan kesabaran, keberanian dan juga tawa jenaka kerana perjalanan pemulihan penuh liku-liku.

Justeru itu, penting bagi penghuni kami mencari titik manis dan membina keyakinan untuk menjalani kehidupan bermasyarakat dengan rakan penghuni dan melangkah ke hadapan.

Pengalaman ini juga satu perjalanan pembelajaran untuk kedua-dua kakitangan dan penduduk Rise Above.

Yang penting, setiap penghuni harus menjalani siri perbualan pemulihan untuk menetapkan objektif yang jelas, saling-memahami hasrat dan harapan, merundingkan penyelesaian dan menyelesaikan perbezaan.

ERATKAN SEMULA IKATAN YANG TERLERAI

Hubungan dengan ahli keluarga juga adalah di antara perkara yang harus diutamakan, dalam perjalanan pemulihan dan integrasi semula wanita. Setiap penghuni kami mempunyai beberapa orang yang dianggap istimewa.

Mereka juga merupakan insan istimewa buat seseorang. Mereka juga seorang anak, ibu, mak cik, kakak, isteri dan kawan.

Sesetengah perhubungan sememangnya sukar untuk diperbaiki, tetapi kami tersentuh menyaksikan kasih sayang yang dicurahkan ahli keluarga meskipun ada yang kelihatan terseksa menahan rindu setelah sekian lama berpisah.

Kami juga akur ramai ahli keluarga masih bergelut dengan rasa kecewa dan marah.

Meskipun ia memakan masa untuk kemarahan reda, kami terdorong dengan tindakan ahli keluarga yang mendahulukan keperluan penghuni kami.

Kerana keluarga mereka tidak putus asa, wanita-wanita ini juga terus cekal untuk kembali ke pangkal jalan.

Sokongan keluarga dalam proses pemulihan dan penyatuan semula tidak boleh diperlekehkan.

Keluarga yang kukuh memainkan peranan penting untuk memastikan penghuni-penghuni kami tidak terus terjerat dalam kancah jenayah.

GENGGAM BARA API, BIAR SAMPAI JADI ARANG

Demikianlah prinsip yang kami jadikan panduan sedang kami menerima penghuni-penghuni dari pelbagai latar belakang ke Rise Above.

Setiap hari adalah satu pengalaman baru. Penduduk Rise Above telah mula menyiapkan diri mereka untuk meniti alam pekerjaan.

Seperti air, kehidupan pasti ada pasang dan surutnya.

Kadangkala, mungkin ada di kalangan penghuni kami yang mengalami kemunduran. Mungkin ini tercetus apabila orang ramai merenung tatu dan ‘gelang kaki hitam’ (alat yang di pakai di buku lali).

Maka itulah, sebagai masyarakat yang membina, kita juga harus komited untuk memberi peluang kedua.

Anjakan paradigma dan tumpukan perhatian terhadap usaha mereka untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan, pupuk semangat dan keyakinan, berpakaian profesional dan mengambil inisiatif untuk memohon pekerjaan.

Sambutlah kemenangan kecil seperti dipilih untuk ditemu duga – setiap langkah bermakna buat penghuni kami.

Wanita-wanita ini berhak mendapat peluang yang adil untuk membina semula kehidupan mereka.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa perjalanan pemulihan bagi wanita ini akan membawa cabaran yang tersendiri.

Lebih-lebih lagi jika terpaksa bersendirian dalam perjalanan ini.

Justeru, sertai kami untuk membina sekitaran terapeutik yang akan mendorong penghuni Rise Above.

Sertailah kami untuk membina sebuah masyarakat yang membina, yang percaya pada keupayaan satu sama lain untuk perubahan positif, yang membina ekosistem sokongan kuat, dan yang menyokong aspirasi wanita.

Sertai kami untuk meraikan wanita, supaya kita dapat bangkit dan raih kemajuan bersama.