Home > News & Media > Tambahan S$1.5 juta bagi elaun ibu bapa titipan; ingin tarik lebih ramai ibu bapa titipan
Tambahan S$1.5 juta bagi elaun ibu bapa titipan; ingin tarik lebih ramai ibu bapa titipan
Last Update on August 15, 2022
This article was originally published by BERITA Mediacorp on 13 August, 2022.
SINGAPURA: Lebih banyak sokongan kewangan akan disediakan buat ibu bapa titipan mulai bulan depan.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan memperuntukkan tambahan S$1.5 juta untuk membiayai kos tambahan itu.
Demikian diumumkan Menteri MSF, Masagos Zulkifli di Seminar Titipan di Enabling Village pagi tadi (13 Ogos).
KADAR ELAUN PENJAGAAN TITIPAN DINAIKKAN
Pada masa ini, ada kira-kira 550 anak titipan, dengan kira-kira 20 peratus daripadanya yang mempunyai keperluan khas.
Elaun penjagaan titipan bulanan akan dinaikkan daripada S$936 kepada $1,100 untuk kanak-kanak yang mempunyai perkembangan mengikut jadual.
Ibu bapa titipan yang anak-kanak yang menjaga anak-anak yang mempunyai keperluan khas pula akan menerima sebanyak S$1,500 daripada S$1,114 sekarang.
Encik Masagos berkata elaun titipan yang dinaikkan itu adalah sebahagian daripada langkah komprehensif untuk menyokong keluarga dan anak titipan.
Menurutnya, bilangan keluarga titipan telah meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu.
“Kami berharap dengan sokongan tambahan ini, lebih banyak keluarga akan melangkah ke hadapan dan membuka hati dan rumah mereka untuk menjadi ibu bapa titipan,” kata Encik Masagos.
IBU BAPA TITIPAN PERLU BELANJA LEBIH MESKI TERIMA ELAUN PENJAGAAN
Encik Imran Mohamed Khamis, 47 tahun, dan Cik Faizah Mohammad, 53 tahun, menjadi ibu bapa titipan kepada seorang bayi lelaki berusia dua bulan sekitar lima tahun lalu.
Pasangan ini mempunyai seorang anak perempuan yang kini berusia 17 tahun.
Anak titipan mereka didiagnos dengan autisme ketika usianya dua tahun.
“Kami perlu membawanya untuk temu janji perubatan dan sesi terapi hampir setiap minggu,” kata Encik Imran.
Namun bukan mudah untuk menjaga anak yang mempunyai keperluan khas.
Selain memenuhi keperluan perubatan anak titipan mereka, pasangan ini juga berdepan dengan berbagai-bagai kos penjagaan lain.
“Dia masih memakai lampin dan masih minum susu formula. Rasa-rasa, setiap hari dia ingin mainan baru, sebab kalau kita belikan dia mainan, dia akan pecahkan.
“Kita juga ambil pembantu dan kita perlu menambah wang kita sendiri. Dan suami saya pun setiap hari menghantar anak kami ke sekolah, jadi sekarang pun harga minyak sudah meningkat, jadi itu juga kos tambahan, ” kongsi Cik Faizah.
Menurut Cik Faizah, mereka turut mendapat bantuan pengangkutan tambahan daripada MSF untuk menghantar anak titipan mereka untuk menghadiri program intervensi awal.
SAMBUTAN BAIK ELAUN PENJAGAAN TITIPAN DINAIKKAN
Mulai bulan depan, Elaun Penjagaan Titipan yang mereka terima akan ditambah sebanyak S$386 daripada S$1,114 sekarang.
Ini amat dialu-alukan Encik Imran dan Cik Faizah suami isteri.
Encik Imran berkata: “Sebagai ibu bapa yang menjaga anak titipan, ini satu berita yang kami sambut baik dan rasa gembira. Kita juga tahu kos kehidupan juga sudah meningkat jadi dengan penambahan bayaran ini, ini akan dapat membantu kita mengeluarkan perbelanjaan setiap bulan, untuk anak titipan kita.”
“Kami harap dengan elaun yang ditambah ini, kita boleh beli lebih banyak mainan berpendidikan untuknya,” tambah Cik Faizah.
Lebih daripada memanfaatkan sokongan tambahan untuk barangan asas anaknya, pasangan suami isteri itu juga bercadang untuk menyertai program-program yang dianjurkan untuk ibu bapa titipan untuk mempertingkatkan kemahiran mereka.
Malah, pusat anak titipan di bawah naungan Persatuan Pemuda Pemudi Islam Singapura (PPIS), PPIS Oasis turut menyambut baik elaun tambahan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif PPIS, Tuminah Sapawi berkata: “Kami mengalu-alukan penambahan elaun kerana kami sedar kos semakin meningkat untuk menjaga anak-anak titipan ini. Kami yakin ini akan memberikan peluang kepada ibu bapa titipan untuk memberikan lebih kepada anak-anak mereka dari segi pengayaan, riadah dan menimbulkan suasana lebih positif di rumah-rumah mereka untuk pembangunan anak-anak mereka.”
“Kami harap dengan penambahan elaun ini, lebih ramai ibu bapa yang berkelayakan dapat tampil ke hadapan untuk menjaga anak-anak ini kerana mereka memerlukan sekitaran yang selamat dan selesa dan membesar. Cabaran dalam keluarga mereka sendiri itu mungkin agak sukar. ”
Di pusat PPIS Oasis, terdapat hampir 120 anak-titipan yang dijaga sekitar 90 keluarga titipan.