Aspirasi peribadi wanita dibincang di dialog PPIS

Aspirasi peribadi wanita dibincang di dialog PPIS

This article was originally published by Berita Harian on 14 March, 2023.

TIGA aspirasi peribadi utama wanita Muslim, menurut kajian yang dilakukan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), termasuk menjadi Muslimah yang lebih baik, mempunyai kebebasan kewangan dan menjadi lebih sihat dan cergas.

Dapatan itu dibincangkan semasa sambutan Hari Wanita Sedunia (IWD) PPIS yang dianjurkan pada 12 Mac lalu di Wisma Geylang Serai.

Semasa acara tersebut, tiga pakar wanita – pakar perbidanan dan sakit puan, Dr Shillah Mariah Yusof; Ustazah Nurhannah Irwan; dan pereka fesyen, Cik Kat Aziz – telah berkongsi pengalaman dan pandangan peribadi mereka dalam sesi dialog yang diadakan.

Sesi dialog tersebut dihadiri sekitar 280 peserta.

Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim berkata:

“Melalui interaksi kami dengan wanita, kanak-kanak dan keluarga yang kami dekati, adalah jelas bahawa permulaan kita semua tidak sama.

“Kita tidak mempunyai kemampuan, hubungan atau peluang yang sama yang membantu kita menjadi versi yang terbaik dan mencapai aspirasi tertinggi kita.

“Kita mesti memupuk minda dan amalan yang mewujudkan sistem eko yang saling mengesahkan dan menyokong supaya kita boleh mencapai lebih banyak lagi, dengan lelaki dan wanita berdiri sebagai rakan kongsi yang sama.”

Menyentuh hasil dapatan kajian PPIS, Cik Hazlina berkata terdapat seruan untuk memupuk masyarakat wanita Muslim yang lebih kohesif dengan meluaskan naratif kejayaan serta mengukuhkan rangkaian sokongan rakan sebaya dan pementoran.

Semasa acara IWD itu juga yang dihadiri tetamu terhormat, Menteri Kedua (Undang-undang merangkap Kewangan), Cik Indranee Rajah, PPIS telah bekerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) untuk menganjurkan pasar mini yang mengetengahkan usahawan perniagaan-mikro wanita.

Antara mereka yang menjual kraf buatan tangan termasuk penduduk Rumah Peralihan Rise Above PPIS yang sedang menjalani program pemulihan yang membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang stabil.

Semua hasil jualan dari gerai mereka itu akan digunakan untuk menyokong program dan perkhidmatan Rise Above.