Cabaran anak dan keluarga titipan harungi kehidupan

Cabaran anak dan keluarga titipan harungi kehidupan

This article was originally published by Berita Harian on 21 November, 2022.

Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) baru-baru ini melancarkan buku mengenai amalan terbaik dalam penjagaan anak titipan. Pelancaran itu juga sempena ulang tahun kelima PPIS Oasis, pusat agensi titipan ketiga di Singapura yang dilantik oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 2017. Laporan BERITA HARIAN ini menyorot antara cabaran yang dihadapi keluarga titipan dan panduan oleh golongan profesional yang dikumpulkan dalam buku tersebut.

 

APABILA seorang anak dipisahkan daripada keluarga kandungnya dan dibawa ke rumah keluarga titipan, anak itu biasanya akan mengalami rasa kehilangan yang mendalam.

Ada yang mungkin menghadapi trauma disebabkan situasi yang dihadapi seperti penderaan. Ramai anak ini juga yang mungkin membesar dalam suasana dan struktur kurang stabil sebelum ini.

Antara lain, ibu bapa titipan boleh membiasakan anak itu dan mewujudkan suasana stabil di rumah mereka dengan memperkenalkan rutin seperti membaca sebelum tidur atau menyiapkan meja makan sebelum makan.

Panduan ini diberikan dalam buku bertajuk ‘Memupuk Hubungan – Koleksi Amalan Terbaik oleh Ibu Bapa Titipan dan Profesional’ terbitan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) baru-baru ini untuk menyokong keluarga yang menjaga anak titipan.

Buku tersebut dilancarkan sempena ulang tahun ke-5 PPIS Oasis, pusat agensi titipan ketiga di Singapura yang dilantik oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 2017.

Buku 53 muka surat itu mengupas cabaran yang dihadapi anak dan keluarga titipan dari detik pertemuan, membina kepercayaan, hingga hubungan dengan keluarga kandung.

PPIS Oasis berkata buku tersebut dihasilkan berdasarkan pengalaman dan interaksi pekerja sosialnya bersama keluarga titipan sejak pusat itu ditubuhkan lima tahun yang lalu.

“Melalui interaksi ini, kami menimba pelbagai maklumat dan panduan serta petua berguna dan praktikal yang diamalkan oleh ibu bapa titipan.

“Kami yakin petua dan panduan tersebut amat penting bagi ibu bapa titipan yang lain,” kata PPIS kepada Berita Harian.

Antaranya, keluarga titipan dinasihatkan untuk memahami apakah sebab yang mengakibatkan anak itu dipisahkan daripada keluarganya, sebelum mereka bertemu dengan anak itu.

Ibu bapa titipan juga dinasihatkan agar tidak memaksa anak itu untuk menggelar mereka ‘ibu dan bapa’.

“Perkataan ‘ibu dan bapa’ mungkin dikaitkan dengan kenangan lalu atau ia mungkin digunakan khas untuk ibu bapa kandung.

“Lebih baik gunakan nama yang anda berdua rasa selesa dengannya,” menurut buku panduan itu.

Dalam membantu anak itu untuk menyesuaikan diri pula, ibu bapa titipan digalakkan untuk memperkenalkan rutin dan peraturan untuk menyediakan sekitaran yang stabil kepada anak-anak ini, yang mungkin membesar dalam suasana yang tidak menentu.

“Seorang anak yang terbiar mungkin tidak tahu bila waktu makannya yang seterusnya, dan justeru mungkin menganggap setiap hidangan sebagai yang terakhir.

“Seorang anak yang menjalani penderaan juga mungkin sentiasa berasa tidak selamat dan tidak berkuasa kerana mereka tidak tahu bila mereka akan didera,” menurut buku itu.

Oleh itu, rutin dan kegiatan seperti menutup lampu di rumah sebelum tidur, boleh membantu anak itu untuk beralih daripada satu kegiatan kepada kegiatan lain, sekali gus menyokong pembangunan untuk mengawal diri.

Satu lagi cabaran yang mungkin dihadapi keluarga dan anak titipan adalah apabila anak itu diberi masa untuk meluangkan masa bersama keluarga kandung mereka.

Namun, masa tersebut mungkin menyebabkan kegelisahan dan kesedihan apabila keluarga kandung itu tidak hadir atau menunjukkan sikap kurang disenangi.

Beberapa keluarga titipan mengongsi pengalaman mengatasi detik-detik sukar itu dalam buku tersebut.

Salah satu keluarga titipan itu berkata mereka akan mempersiapkan anak tersebut sebelum diberi peluang menemui keluarga kandung, dengan menjelaskan berapa lama waktu yang diberikan, dan apa yang boleh dijangkakan semasa kunjungan itu.

“Apa yang berkesan adalah kami memberi masa kepada anak itu untuk berasa sedih atau terganggu apabila dia harus mengucapkan selamat tinggal.

“Walaupun dia menunjukkan perasaan itu, biarkan anak itu seketika sebelum kami bantu anak itu untuk memahami emosinya,” kongsi salah sebuah keluarga itu.

Masa bersama keluarga kandung ialah proses penting dalam menyatukan semula anak titipan bersama keluarga kandung mereka, menurut PPIS.

“Inilah cara bagi mereka untuk merawati luka mereka. Ia memberi peluang kepada mereka untuk berhubung semula dengan keluarga kandungan mereka, dan tidak rasa diabaikan oleh mereka.

“Hasilnya, harga diri dan jati diri mereka boleh diperkukuh,” kata buku itu lagi.

Naib Presiden PPIS, Cik Suree Rohan, berkata buku yang dilancarkan itu diharapkan akan berguna kepada ibu bapa titipan yang baru serta mereka yang berpotensi menjadi ibu bapa titipan.

“Saya percaya antara cara terbaik untuk menyediakan kestabilan kepada anak-anak adalah untuk menyediakan kestabilan kepada ibu bapa titipan yang menjaga mereka.

“Jika ibu bapa itu rasa disokong, mereka akan mampu menjaga anak itu dengan lebih baik,” ujarnya.

Oleh itu, PPIS Oasis menyediakan sokongan seperti sokongan pengurusan kes, kaunseling, perkhidmatan hotline 24 jam, serta kumpulan sokongan dalam talian dan fizikal yang dibimbing pekerja sosial.

Sedang bilangan anak-anak titipan terus meningkat, terdapat keperluan untuk mempertingkatkan usaha menarik lebih ramai keluarga titipan untuk menjaga anak tersebut, kata Cik Suree lagi.

PPIS Oasis juga berkata: “Kami yakin dengan peningkatan elaun bulanan bagi memenuhi keperluan anak-anak titipan, serta manfaat yang lain seperti kad pengecualian yuran perubatan, penjagaan kanak-kanak dan subsidi penjagaan pelajar, lebih ramai keluarga yang berkelayakan akan mahu membuka rumah dan hati mereka kepada kanak-kanak yang memerlukan ini.”