Kesaksamaan jantina perlu bagi pastikan persaingan yang adil bagi kaum hawa

Kesaksamaan jantina perlu bagi pastikan persaingan yang adil bagi kaum hawa

This article was originally published by Berita Harian on 05 March, 2023.

KEPERLUAN kaum hawa yang tidak seragam merentas semua lapisan masyarakat, dan kesedaran ini perlu wujud dalam usaha memastikan golongan tersebut menerima sokongan yang bertepatan.

Justeru, tumpuan perlu dialihkan kepada perspektif kesaksamaan atau ‘equity’ yang menetapkan bahawa sokongan di tahap berbeza diperlukan bagi memastikan persaingan yang adil.

Ini perlu dilakukan dengan mengambil kira sumber, persekitaran dan keadaan berbeza setiap individu dalam memaksimumkan potensi mereka.

Sejajar dengan tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa (IWD) tahun ini, #EmbraceEquity, pengamat menekankan bahawa kesaksamaan jantina melibatkan usaha seluruh masyarakat bagi memastikan budaya dan persekitaran mereka kondusif bagi wanita.

Permulaan setiap individu berbeza, dan kesaksamaan membantu dalam usaha menyamaratakan tapak permulaan ini, menurut presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim.

“Meskipun pelbagai kemajuan telah kita capai, masyarakat masih perlu meneruskan usaha (ke arah akses dan peluang yang sama rata) untuk memastikan kaum hawa terus disokong dan diperkasa, dan untuk memastikan persaingan kekal adil.

“Pembentukan kesaksamaan jantina memerlukan usaha seluruh masyarakat dan anjakan minda bagi memastikan budaya dan persekitaran – awam, di rumah atau di tempat kerja – kekal kondusif untuk menyokong wanita,” katanya semasa diwawancara Berita Minggu (BM).

Tambahnya, wanita Melayu/Islam telah mencatatkan kemajuan dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan politik tetapi hambatan budaya, struktur dan sosial masih berkekalan.

Pendekatan pelbagai rampang diperlukan bagi membantu wanita Melayu/Islam merealisasikan aspirasi keluarga, kerjaya dan dan peribadi mereka, kata Cik Hazlina.

“Kita perlu menerapkan nilai baik serta pemikiran yang menyokong kesamaan jantina di kalangan keluarga sejak kecil.

“Ini selain memperjuangkan peranan yang dimainkan pendidikan, advokasi, dasar dan perundangan dalam membantu wanita ke arah merealisasikan aspirasi mereka dan ke arah membina keluarga lebih berdaya tahan,” katanya.

Wanita juga perlu diperkasa dan disokong dalam membuat keputusan bagi diri dan juga keluarga mereka, ini akan membuat mereka berasa lebih dihargai dalam memainkan peranan di rumah dan juga di tempat kerja, menurut pengasas bersama syarikat pendidikan Kowabunga! Global, Cik Nur Suliani Md Noor.

“Berikan wanita ruang dalam masyarakat di mana mereka berasa selamat dan keputusan mereka dihormati.

“Dengan ini, kita boleh membincangkan tentang sumber serta bantuan yang diperlukan wanita dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan pihak berkepentingan serta pelakar dasar untuk menunjukkan bahawa kita berpegangkan kepada prinsip kesaksamaan,” ujarnya.

Di samping itu, Cik Suliani berkata masyarakat perlu sedar bahawa setiap wanita menyumbang kepada ekonomi dan masyarakat dengan cara tersendiri dan ini perlu diiktiraf.

“Ada sumbangan ini mungkin tidak dapat dilihat dengan mata kasar atau diukur, tapi ini tak bermakna ia tidak perlu diiktiraf.

“Tak kira apa jua pangkat atau kedudukan wanita itu, atau tahap ‘kejayaannya’ berdasarkan apa yang ditetapkan masyarakat, sumbangan mereka penting dalam memastikan masyarakat kekal dinamik dan ini perlu dihargai,” katanya.

Beliau akui masyarakat mempunyai pandangan berbeza mengenai kategori wanita berbeza seperti ibu yang bekerja berbanding suri rumah dan ini perlu diubah.

Katanya: “Sumbangan ‘wanita biasa’ juga perlu dihargai, kerana sumbangan ‘wanita biasa’ ini menjadikan masyarakat kita luar biasa.”