Para pemimpin masyarakat alu-alukan usaha baru bagi masyarakat Melayu/Islam langkah ke hadapan dengan lebih kukuh

Para pemimpin masyarakat alu-alukan usaha baru bagi masyarakat Melayu/Islam langkah ke hadapan dengan lebih kukuh

 

This article was originally published by Berita Harian on 14 May, 2022.

SINGAPURA: Para pemimpin masyarakat Melayu/Islam menyambut baik inisiatif-inisiatif yang diumumkan Menteri Masagos Zulkifli di Majlis Perjumpaan Hari Raya bersama Menteri pada Jumaat (13 Mei).

Antaranya termasuk inisiatif untuk memperluaskan biasiswa Sheikh Isa Semait bagi membantu lebih ramai penuntut madrasah dan mahasiswa cemerlang, pelancaran Program Saham Kesihatan bagi mengurangkan gejala penyakit kronik di kalangan masyarakat serta seruan untuk lebih ramai relawan tampil menyokong usaha mendampingi keluarga yang menetap di flat-flat sewa menerusi projek DIAN@M³.

Ia menarik perhatian beberapa pemimpin masyarakat yang ditemui dan ia membakarkan lagi semangat mereka untuk memainkan peranan masing-masing.

“Ia menerangkan atau menunjukkan dalam kita mencapai kemajuan dalam masyarakat, tidak ada dalam kalangan mereka yang telah dipinggirkan dan tercicir dan saya juga terpanggil untuk menyeru para belia kita, pemuda-pemudi kita untuk tampil ke hadapan, untuk menggembleng tenaga untuk menjayakan usaha-usaha ini bersama,” kata Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Nassar Mohamad Zain.

Pengerusi AMP Dr Badrun Nafis Saion pula berpendapat, “Kita di AMP, dengan program-program kami, dan usaha-usaha kami, kita akan terus menyokong masyarakat kita bersama dengan satu sama lain juga dengan bergotong-royong dengan MMO yang lain,”

Usaha-usaha yang dilakarkan secara menyeluruh itu juga disifatkan sebagai usaha sejagat untuk membawa masyarakat lebih maju bersama.

Selain menyokong usaha Pemerintah dalam memperkasa golongan agamawan menerusi perluasan biasiswa, Persatuan Pemudi-Pemudi Islam Singapura (PPIS) juga sangat mengalu-alukan Program Saham Kesihatan yang baru.

“Saya fikir tiba masanya untuk kita memberikan fokus kepada kesihatan kerana apabila diri kita terjaga dan kita berada pada tahap yang terbaik, ini bermakna kita akan boleh menjadi versi lebih baik diri kita sendiri,” kata Presiden Persatuan Pemudi-Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim.

Ini menurut Encik Masagos yang juga Menteri Kedua Kesihatan, boleh dikecapi masyarakat dengan sikap disiplin.

Sikap disiplin itu merupakan antara tiga ciri utama yang digariskan beliau dalam ucapannya.

Selain sikap disiplin, Encik Masagos juga menegaskan bahawa sifat keprihatinan dan ilmu telah membantu masyarakat menangani COVID-19 dan akan menjadikan masyarakat lebih berdaya tahan serta mampu tangani cabaran akan datang.

Ia juga selaras dengan tema majlis iaitu ‘Mengharungi Pandemik COVID-19: Berdiri Teguh, Melangkah Kukuh’.