PPIS perluas usaha bantu wanita sertai semula pasaran kerja

PPIS perluas usaha bantu wanita sertai semula pasaran kerja

This article was originally published by Berita Harian on 31 March, 2022.

PERSATUAN Pemudi Islam Singapura (PPIS) akan memperluas usahanya mendekati dan menyokong wanita yang menghadapi cabaran lebih besar untuk menyertai semula tenaga kerja.

Menurut badan tidak meraih keuntungan itu, ini akan menjadi salah satu tumpuan PPIS Women Space, wadah sehenti yang menyediakan sokongan kepada kaum Hawa dari segi kerjaya, khidmat guaman dan keperluan kesejahteraan mereka.

Ia juga merupakan sebuah pusat sumber bagi wanita mendapatkan maklumat, bantuan dan rujukan.

“PPIS mengalu-alukan usaha memupuk kerjasama sinergistik dengan agensi pemerintah dan rakan kerja lain yang sealiran dalam bidang bimbingan kerjaya, peluang menjalin rangkaian atau program latihan bagi wanita di tempat kerja dan untuk menyertai semula tenaga kerja.

“Usaha seluruh masyarakat ini akan memulakan proses mewujudkan budaya tempat kerja yang lebih empatetik, prokeluarga dan progresif,” ujar PPIS.

PPIS berkata demikian menerusi satu kenyataan di mana mereka turut melahirkan sokongan bagi Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura yang dibentangkan pemerintah Isnin lalu.

Kertas Putih itu mengemukakan lima bidang tumpuan dalam pelan tindakan 10 tahun termasuk meningkatkan kesaksamaan antara lelaki dengan wanita di tempat kerja, membantu mereka yang memikul tanggungjawab penjagaan serta melindungi mereka daripada keganasan.

Dalam usaha mewujudkan budaya tempat kerja lebih sihat, permintaan aturan kerja fleksibel (FWA) akan dipermudah untuk membuka peluang bagi wanita, terutama sekali yang memikul tanggungjawab penjagaan, menyertai tenaga kerja Singapura.

Langkah itu antara 25 pelan tindakan dalam Kertas Putih itu hasil Perbincangan Mengenai Pembangunan Wanita yang diadakan sepanjang tahun lalu.

Dalam saranan yang dikemukakannya bagi semakan berhubung isu wanita tahun lalu, PPIS berkata mereka telah menarik perhatian bahawa sedang pelbagai dasar prokeluarga seperti FWA dan cuti keibubapaan sudah pun wujud, majikan mungkin keberatan menyokong dasar ini sepenuhnya kerana prihatin ia boleh menjejas prestasi atau komitmen kerja.

“Oleh itu, PPIS sokong sepenuhnya usulan Kertas Putih itu untuk menggubal undang-undang berdasarkan Garis Panduan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil (TGFEP) serta menjadikan FWA satu norma di tempat kerja dengan memperkenal Garis Panduan Tiga Pihak baru berkaitan FWA,” ujar PPIS.

PPIS turut menggesa agar usaha dijalankan untuk membolehkan kaum wanita dibimbing oleh wanita lain bagi membina keyakinan mereka dan membolehkan amalan terbaik dikongsi tentang bagaimana untuk menghadapi kehidupan dan tempat kerja mereka dengan lebih baik.

Tambahnya, ini sejajar dengan saranan pemerintah bagi rakan kerja korporat dan masyarakat bekerjasama untuk menyediakan program bimbingan bagi kaum wanita dan membangunkan bakat wanita yang boleh menjadi mentor juga.

“Pelan tindakan Kertas Putih ini menandakan satu langkah tegas terhadap mencapai kemajuan bagi wanita dan PPIS komited memainkan peranannya sebagai pertubuhan wanita Islam perintis,” ujar PPIS.


 

“PPIS mengalu-alukan usaha memupuk kerjasama sinergistik dengan agensi pemerintah dan rakan kerja lain yang sealiran dalam bidang bimbingan kerjaya, peluang menjalin rangkaian atau program latihan bagi wanita di tempat kerja dan untuk menyertai semula tenaga kerja. Usaha seluruh masyarakat ini akan memulakan proses mewujudkan budaya tempat kerja yang lebih empatetik, prokeluarga dan progresif.”
– Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dalam satu kenyataan.