Presiden PPIS Hazlina Halim dilantik semula

Presiden PPIS Hazlina Halim dilantik semula

This article was originally published by BERITA Mediacorp on 24 September, 2022.

SINGAPURA: Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Hazlina Halim dilantik semula untuk berkhidmat bagi penggal kedua.

Cik Hazlina diberi mandat tersebut dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-51 pertubuhan itu di Grand Mercure Singapore Roxy pada Sabtu (24 Sep).

PPIS turut mengumumkan visi barunya sempena sambutan jubli platinum pertubuhan itu pada tahun ini ‘Masyarakat Wanita Berjaya dan Keluarga yang Berkembang Maju’.

Demikian menurut kenyataan PPIS yang dikeluarkan hari ini.

Selain Cik Hazlina, 10 anggota Lembaga Pengarah yang lain turut dilantik semula.

PPIS turut menyaksikan kemasukan dua muka baru, Cik Azlinda Zainal Abidin selaku Bendahari Kehormat dan Cik Liyana Sinwan.

“Lembaga Pengarah PPIS terdiri daripada karyawan daripada bidang berbeza-beza. Berbekalkan kepakaran masing-masing, mereka akan terus memainkan peranan penting dalam usaha kolektif PPIS untuk membentuk sebuah ekosistem yang memupuk daya tahan golongan wanita serta keluarga mereka. Ini selain memperkukuhkan modal sosial dan membantu masyarakat untuk berjaya dan berkembang maju,” menurut persatuan tersebut dalam kenyataannya.

Cik Hazlina, yang sekarang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Make-A-Wish Singapore, berkata COVID-19 merupakan pendorong kepada seluruh dunia untuk menerima perubahan, dan PPIS tidak terkecuali.

“Selepas 70 tahun, sudah tiba masanya kita membayangkan semula masa depan pertubuhan kami, untuk kekal relevan dan mengikuti perkembangan landskap sosial masyarakat, dan memenuhi jangkaan generasi wanita Islam masa kini dan akan datang.

“Satu cara utama untuk kekal relevan ialah sentiasa mengalu-alukan bakat baru. Kami berbangga mempunyai dua ahli baru dalam lembaga pengarah dan dua pemegang jawatan baru yang akan mengukuhkan pasukan kepimpinan,” kata beliau.

Sepanjang tahun kewangan lalu, PPIS menyertai beberapa program yang bertepatan dengan misinya untuk memberi inspirasi kepada wanita dan mengukuhkan keluarga.

Antaranya adalah inisiatif nasional Perikatan untuk Tindakan (Afa) untuk Memperkukuhkan Perkahwinan dan Keluarga serta Sunlight (AfA) bagi menangani bahaya dalam talian, rumah peralihan sekular “Rise Above” dan kajian mengenai Aspirasi Wanita Islam di Singapura.

PPIS berharap inisiatif-inisiatif berterusan yang dijalankan akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai perintis pertubuhan wanita Islam, selaras dengan keperluan masyarakat Melayu-Islam tempatan.