Proses beku telur selamat tapi ada risiko, implikasi sosial ke atas anak: Pakar

Proses beku telur selamat tapi ada risiko, implikasi sosial ke atas anak: Pakar

BAKAL DIBOLEHKAN: Wanita berumur antara 21 dan 35 tahun boleh menjalani pembekuan telur sosial, atau bukan atas sebab perubatan, di Singapura mulai tahun depan. - Foto fail

This article was originally published by Berita Harian on 16 April, 2022.

 

PROSES membekukan telur secara am adalah satu prosedur selamat. Dengan Singapura kini membenarkan wanita membekukan telur mereka bagi tujuan bukan perubatan, wanita, yang sudah mahupun belum berumah tangga, boleh menimbangkan pilihan ini, kata beberapa pakar perubatan yang dihubungi Berita Harian.

Langkah membolehkan pembekuan telur itu adalah respons terhadap keprihatinan yang dikemukakan melalui maklum balas daripada Perbincangan mengenai Pembangunan Wanita Singapura.

Sesetengah mereka mengemukakan keinginan memelihara kesuburan disebabkan keadaan peribadi, contohnya, belum bertemu pasangan hidup dan ingin hamil jika berkahwin pada usia lebih lanjut.

Pemerintah mengumumkan bulan lalu wanita berusia antara 21 dengan 35 tahun dibenarkan menjalani pembekuan telur mulai tahun depan, tidak kira status perkahwinan mereka.

Sekarang ia dibolehkan hanya atas sebab-sebab perubatan, misalnya telah menjalani rawatan yang boleh menjejas kesuburan, seperti rawatan barah.

Pengasas dan Pengarah The Whitehatters, Cik Shahrany Hassan, mengalu-alukan keputusan itu kerana ia menawarkan pilihan kepada wanita.

“Membekukan telur tidak bermakna wanita itu melepaskan impian atau rancangannya menjadi ibu. Ia bermakna kini wanita ada pilihan untuk mengalami keibuan apabila sudah bersedia dan bukan kerana tekanan akibat detikan jam biologi,” katanya.

Jurucakap Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) berkata meskipun usia pertengahan wanita Melayu bagi perkahwinan kali pertama sepanjang 30 tahun lalu telah meningkat daripada 24.4 tahun pada 1990 kepada 27.6 tahun pada 2020, ia menjangka lebih banyak usaha mendekati masyarakat berkaitan isu ini diperlukan.

“PPIS menjangka akan terdapat prakaunseling yang akan ditawarkan sebagai sebahagian proses itu, agar wanita yang membuat pilihan ini sedar akan risikonya,” kata jurucakap itu.

Pakar perbidanan dan sakit puan Hospital Raffles, Dr Jazlan Joosoph, berkata proses pembekuan telur secara amnya selamat jika dilakukan oleh doktor yang mempunyai kepakaran dan kemudahan baik.

Namun, beliau memberi amaran seperti setiap prosedur, ia mempunyai risiko yang boleh dibahagikan kepada tiga aspek – berkaitan proses mengeluarkan dan menuai telur dalam ovari melalui rawatan stimulasi menggunakan suntikan hormon; proses mengeluarkan telur; dan proses pembekuan.

Suntikan hormon perlu dilakukan de-ngan hati-hati bagi mengelakkan komplikasi sindrom hiper stimulasi ovari (OHSS), yang amat serius dan berbahaya. Ia boleh menyebabkan kegagalan ginjal dan trombosis, bahkan boleh membawa maut.

Kecederaan berkaitan jarum juga antara risikonya kerana jarum panjang digunakan untuk mengeluarkan telur dari ovari.

Keadaan telur yang rapuh juga boleh menjadi satu risiko.

“Proses pembekuan dan mencairkan telur ada kalanya boleh menyebabkan kerosakan pada telur, menjadikannya tidak berguna dan sesuai untuk persenyawaan,” terang Dr Jazlan.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Pusat Pakar Pacific Healthcare, Dr Nurhidayati Mohamed Suphan berkata proses itu tidak menjamin seseorang wanita akan hamil.

“Wanita perlu mendapatkan butiran terperinci mengenai risiko dan manfaat prosedur ini dan bukan sekadar mengikut trend untuk menangguhkan keibuan. Membekukan telur tidak menjamin anda akan hamil kerana ada banyak faktor lain yang perlu diambil kira, misalnya usia.

“Tidak semestinya anda membekukan 50 telur semua boleh menjalani persenyawaan,” katanya lagi.

Beliau turut menggalak wanita berkahwin dan hamil awal secara alami.

“Kesuburan seorang wanita paling baik apabila mereka masih muda,” ujarnya.

Sebelum ini, wanita di Singapura yang ingin membekukan telur bagi tujuan bukan perubatan melakukannya di luar negara, seperti Malaysia, Thailand, Hong Kong dan Australia.

Pelakon Ase Wang, misalnya, melahirkan seorang anak perempuan tahun lalu selepas menjalani tiga putaran pembekuan telur di Bangkok.

Mengongsi pengalamannya kepada akhbar The Straits Times, beliau, 40 tahun, berkata prosesnya sukar dan mahal. Beliau membelanjakan sekitar $45,000 bagi tiga putaran pembekuan telur sebelum berkahwin, dan mengalami perubahan mood akibat suntikan hormon setiap hari.

Secara keseluruhan, beliau membekukan 17 telur. Namun, beliau tidak menyesal dengan keputusannya.

“Pembekuan telur adalah pelaburan terbaik bagi saya. Ia membuat saya lebih lega kerana saya mempunyai lebih banyak masa mencari pasangan sesuai,” katanya.

Meskipun pengumuman pemerintah itu satu kemajuan besar bagi wanita, Dr Jazlan mengingatkan hamil pada usia lanjut, misalnya sekitar 50 tahun, boleh mempunyai implikasi sosial kepada anak itu kelak.

“Walaupun wanita itu lebih matang dan stabil, membesarkan anak kecil pada usia sedemikian mungkin agak mencabar dan juga tidak adil bagi anak itu mempunyai ibu bapa lanjut usia.

“Ibu bapa mereka mungkin tidak dapat memenuhi keperluan mereka dan mungkin juga akan meninggal dunia sebelum anak mereka dewasa,” katanya.


“Membekukan telur tidak bermakna wanita itu melepaskan impian atau rancangannya menjadi ibu. Ia bermakna kini wanita ada pilihan untuk mengalami keibuan apabila sudah bersedia dan bukan kerana tekanan akibat detikan jam biologi.”
– Cik Shahrany Hassan, Pengasas dan Pengarah The Whitehatters.

“Wanita perlu mendapatkan butiran terperinci tentang risiko dan manfaat prosedur ini dan bukan sekadar ikut trend menangguhkan keibuan. Membekukan telur tidak menjamin anda akan hamil kerana ada banyak faktor lain yang perlu diambil kira, misalnya usia.”
– Dr Nurhidayati Mohamed Suphan, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan.

“Walaupun wanita (menangguh kehamilan) itu lebih matang dan stabil, membesarkan anak kecil pada usia itu mungkin agak mencabar, dan tidak adil bagi anak itu mempunyai ibu bapa lanjut usia. Ibu bapa mungkin tidak dapat memenuhi keperluan mereka dan meninggal sebelum anak dewasa.”
– Dr Jazlan Joosoph, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan.


APA KATA PAKAR

Soal jawab mengenai pembekuan telur bersama Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Raffles, Dr Jazlan Joosoph.

Soalan: Adakah proses pembekuan telur selamat?

Jawapan: Secara amnya, ia selamat jika dilakukan dengan kepakaran dan kemudahan baik. Ia harus dilakukan hanya oleh pakar fertilisasi in-vitro (IVF) yang ada latihan dan pengalaman sewajarnya di pusat IVF dan hospital yang ada kemudahan sesuai.

Soalan: Apakah risikonya?

Jawapan: Pertama: Proses mengeluarkan dan menuai (harvesting) telur dalam ovari melalui stimulasi dengan suntikan hormon. Adalah perlu menentukur dengan teliti suntikan hormon bagi mengelak komplikasi Sindrom Hiper Stimulasi Ovari (OHSS), yang boleh menjadi serius dan bahaya dan perlu dirawat di hospital. Ia juga boleh menyebabkan, antara lain, kegagalan ginjal dan trombosis serta boleh mengancam nyawa.

Kedua: Berkaitan proses mengeluarkan telur. Ini prosedur mudah yang selalunya dilakukan menggunakan kaedah sedasi atau bius ringan untuk mengeluarkan kesemua telur yang telah dituai selepas proses stimulasi. Risiko termasuk berkaitan sedasi dan prosedur, termasuk kecederaan akibat penggunaan jarum. Ini kerana jarum panjang digunakan untuk mengeluarkan atau menyedut telur daripada ovari.

Ketiga: Berkaitan proses pembekuan. Telur agak rapuh. Proses pembekuan dan mencairkan telur ada kalanya boleh menyebabkan kerosakan pada telur, menjadikannya tidak lagi berguna dan sesuai untuk penyuburan (fertilization).

Soalan: Apakah kriteria bagi wanita yang ingin membekukan telur mereka?

Jawapan: Wanita dalam kumpulan usia pembiakan, atau reproduktif, boleh membekukan telur mereka tetapi perlu ada garis panduan. Usia terlalu lanjut akan menimbulkan masalah. Remaja perempuan bawah usia tidak boleh melakukannya tanpa kebenaran ibu bapa. Wanita tua yang telurnya sudah berkurangan dan tidak bermutu mungkin tidak sesuai menjalani proses pembekuan telur.

Soalan: Beapakah usia terbaik?

Jawapan: Usia terbaik ialah sebelum 35 tahun. Lebih muda, lebih baik. Tidak digalak bagi wanita melebihi usia 40 tahun.

Soalan: Di mana telur dibekukan?

Jawapan: Menggunakan vitrifikasi dan disimpan dalam tangki dipenuhi cecair nitrogen yang disimpan dalam makmal IVF. Makmal IVF perlu menjalani proses audit secara kerap bagi keselamatan, kebersihan dan sistem penyimpanan tepat untuk mengelakkan kekeliruan dan kehilangan spesimen.

Soalan: Berapa lama telur boleh dibeku?

Jawapan: Seberapa lama hingga pemilik mahu menghentikan proses pembekuan dan berhenti bayar bagi khidmat tersebut.

Soalan: Berapa anggaran harga membekukan telur?

Jawapan: Proses konsultasi hingga simulasi dan ke tahap mengeluarkan telur berharga antara $12,000 hingga $14,000. Harga menyimpan telur ialah sekitar $450 setahun.

Soalan: Adakah pembekuan telur menjamin seseorang itu akan hamil?

Jawapan: Tiada jaminan. Proses pembekuan dan mencairkan telur ada kalanya membawa kerosakan. Telur lebih bermutu, selalunya daripada wanita lebih muda, boleh tahan proses pembekuan dan pencairan lebih baik dari telur yang mutunya kurang baik.